PETALING JAYA: “Tidak sampai hujung bulan, duit tinggal tidak sampai RM50, RM100, baki dalam bank pun kosong. Hingga terpaksa pinjam daripada rakan lain dan ahli keluarga.”
Demikian luah seorang anggota polis berpangkat konstabel ketika mengulas mengenai gaji anggota polis sepertinya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, dia berkata, gaji pokok konstabel polis iaitu RM1,441 sememangnya tidak mencukupi tambahan lagi jika bertugas di bandar.
Malah, katanya, segelintir anggota berpangkat rendah itu dibebani hutang apabila terpaksa meminjam wang pada ahli keluarga dan rakan.
Ini kerana, tambahnya, banyak tanggungjawab dan keperluan yang perlu dilunaskan termasuk perbelanjaan sendiri, ahli keluarga dan ibu bapa selain berhadapan dengan isu kenaikan harga barang keperluan asas.
“Walaupun dengan gaji pokok RM1,441 serta beberapa elaun antaranya kos sara diri, khidmat awam, perkhidmatan dan rumah, namun jumlah gaji bersih masih bawah RM2,500.
“Dengan jumlah sebegitu, ia memang tidak cukup. Hendak tanggung isteri, ibu bapa serta perlu menanggung keperluan lain,” katanya yang kini bertugas bertugas di Cheras, Kuala Lumpur.
Katanya, orang luar kata belanja ikut kemampuan tetapi dia dan rakannya yang lain sudah ikut kemampuan pun masih tidak cukup.
“Nasib baik anggota dapat duduk di berek kalau terpaksa menyewa mungkin tengah bulan makan pasir sahaja,” katanya ketika dihubungi sambil menyokong gaji anggota polis dinaikkan.
Sementara itu, seorang lagi polis berpangkat konstabel di Kontinjen Kuala Lumpur berkata, dia berharap pihak kerajaan dapat memandang isu gaji rendah melibatkan anggota berpangkat rendah.
Jelasnya, gaji diterima tidak setimpal dengan tanggungjawab tugas bagi menjaga keselamatan negara yang terdedah dengan bahaya.
“Kami (konstabel polis) dikira miskin bandar, dengan kenaikan harga barang keperluan selain menanggung perbelanjaan keluarga dan anak-anak.
“Sebab itu ada antara anggota yang terlibat dengan rasuah, pemerasan dan sebagainya. Jadi kita harap pihak kerajaan dapat ambil maklum isu ini,” katanya.
Pada 7 Oktober lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada kerajaan supaya skim gaji permulaan bagi Konstabel (YA1) sebanyak RM1,441 diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata selain penyelarasan tangga gaji, PDRM turut mengemukakan beberapa cadangan khususnya bagi meningkatkan tahap integriti pasukan.
“Kita telah cadangkan agar kenaikan penambahan 30 peratus daripada kadar kenaikan gaji tahunan (KGT) dan kenaikan satu KGT one off bagi kumpulan pengurusan profesional kepada skim pegawai kanan polis iaitu YA13 hingga YA24A.
“Begitu juga kumpulan pelaksana Skim Pegawai Rendah Polis Konstabel daripada Y1 hingga Y10 ini dan Skim Pegawai Kanan Polis dan Konstabel Orang Asli, YP1 hingga Y10, yang kita minta kenaikan 30 peratus KGT dan juga one off atas KGT,” katanya. – UTUSAN










