KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama negeri-negeri tidak merekodkan pendaftaran perkahwinan pasangan sama jantina.
Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, undang-undang negara ini melalui akta Undang-Undang Keluarga Islam atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam tidak mengiktiraf perkahwinan pasangan sejenis.
Menurut beliau, pendaftaran perkahwinan hanya melibatkan pasangan lelaki dan perempuan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kalau ada perkahwinan dilangsungkan juga, apabila ada pihak yang berhasrat mendaftarkannya, tidak boleh, ini mustahil kerana undang-undang tidak membenarkannya.
“Ini berbeza dengan perkahwinan antara lelaki dan perempuan yang berkahwin di Thailand dan pulang ke Malaysia mendaftarkan perkahwinan, selagi perkahwinan itu sah mengikut hukum syarak, maka perkahwinan itu boleh didaftar.
“Jadi, sekarang ini memang tiada dalam rekod walau satu pun pasangan kahwin sama jantina,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan [PH-Sri Gading] yang bertanya jika Jakim menerima maklumat perkahwinan sejenis selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.
Beliau turut bertanya jumlah bilangan lelaki dan perempuan yang terlibatkan dalam perkahwinan sejenis mengikut kaum khususnya Melayu.- UTUSAN