PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas pemergian legenda muzik India, Asha Bhosle, yang disifatkan sebagai kehilangan besar kepada dunia seni dan kebudayaan.
Anwar menyifatkan Bhosle sebagai figura seni yang menyatukan emosi, tradisi dan pensejarahan melalui ribuan karya merentas generasi, dengan suara unik yang sarat dengan jiwa dan tenaga sehingga menghidupkan layar perak serta drama yang menyentuh jutaan peminat di seluruh dunia.
“Sebagai adinda kepada Lata Mangeshkar, beliau telah mengangkat legasi keluarga yang begitu besar dalam khazanah seni Asia Selatan dan tetap membina jalur kepemimpinan seninya dengan gaya tersendiri.
“Selain berani bereksperimen, buat lebih daripada sekadar biasa, tidak mediocre, malah terus relevan dalam arus dan rencam zaman yang sentiasa menjanjikan perubahan dan citra baharu,” katanya menerusi hantaran facebooknya hari ini.
Anwar turut menyampaikan takziah kepada keluarga mendiang dan seluruh pencinta seni, sambil berharap legasi Bhosle terus menyemarak dan menjadi ilham kepada generasi akan datang dalam memperkaya dunia muzik dan kebudayaan.
Bhosle, 92, dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Mumbai pada Ahad lalu akibat kegagalan pelbagai organ selepas dimasukkan pada Sabtu kerana jangkitan dada. – UTUSAN










