Harga barangan asas di Gaza melonjak 200 peratus

Harga barangan asas di Gaza melonjak 200 peratus

KANAK-kanak Palestin beratur panjang untuk mendapatkan makanan sumbangan pertubuhan kebajikan di Kem Pelarian Nuseirat, Gaza berikutan tindakan tentera ZIonis menghalang lebih 500 lori yang membawa bantuan kemanusiaan memasuki kawasan tersebut. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga barangan asas di Gaza melonjak sehingga 200 peratus ekoran sekatan bekalan bantuan di sempadan Rafah oleh tentera Israel, sekaligus menekan kehidupan rakyat di wilayah tersebut.

Kekangan bantuan kemanusiaan bukan sahaja menjejaskan bekalan makanan asas, turut melumpuhkan sistem kesihatan di Gaza yang semakin kritikal

Pengarah Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkifli berkata, berlaku peningkatan mendadak harga barangan asas sehingga 200 peratus termasuk ubat-ubatan ekoran sekatan sejak seminggu lalu.

Katanya, keadaan diburukkan dengan tindakan tentera Zionis mengehadkan kemasukan jumlah trak yang membawa bantuan kemanusiaan kepada kurang 50 buah daripada 600 sehari sebelum ini.

“Stok makanan disekat, tiada stok untuk dijual dan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan mereka sehingga ke tahap maksimum.

“Barangan asas seperti tepung dijual sehingga RM90 sekilo berbanding harga asal RM13 sekilo berikutan stok makanan asas yang terhad, ia menjejaskan penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Haikal berkata, sekatan kemasukan bantuan kemanusiaan menyebabkan beberapa hospital terpaksa ditutup ekoran kehabisan stok ubat-ubatan.

Sementara itu, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, sistem kesihatan di Gaza kini di ambang keruntuhan apabila 90 peratus hospital yang ada di wilayah itu musnah dibom tentera Israel.

Katanya, keadaan menjadi lebih buruk apabila hospital yang ada tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang setiap hari meningkat susulan serangan berterusan oleh tentera Zionis.

“Kebanyakkan hospital yang berfungsi sebagai pusat pertolongan cemas terpaksa ditutup ekoran tiada peralatan pembedahan yang lengkap.

“Keadaan itu menyebabkan pesakit-pesakit terpaksa dirawat di lantai atau koridor selain bersesak di khemah-khemah sementara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN