PETALING JAYA: Beberapa individu dipercayai terdiri daripada kenalan seorang tahanan reman warga Pakistan yang dilaporkan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata,usaha memburu suspek masih giat dijalankan dan beberapa individu disiasat.
“Keterangan mereka juga diambil namun bilangan berapa individu saya tidak dapat kongsikan kerana operasi masih lagi berjalan.
“Polis sedang dan masih mengikuti jejak suspek ini sejak dari awal operasi dijalankan untuk memburunya,” katanya secara ringkas ketika dihubungi media.
Semalam, media melaporkan polis membuka kertas siasatan bagi memastikan sebarang pelanggaran serta ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam insiden terbabit.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, siasatan dijalankan bagi meneliti sekiranya wujud unsur kecuaian atau pelanggaran SOP sepanjang insiden tersebut.
Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.
Polis juga telah memperhebat operasi memburu dan menjejaki tahanan reman berusia 24 tahun itu.
Tahanan itu ialah Muhammad Hassan yang menghadapi beberapa pertuduhan termasuk kes seksual di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak selain Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN










