PETALING JAYA: Isu berkaitan pewartaan tanah Orang Asli terus menjadi persoalan walaupun Malaysia sudah mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun.
Ketika ini, lebih 50 peratus daripada kira-kira 400 perkampungan Orang Asli di seluruh negara masih berstatus hutan simpan dan tanah rizab kerajaan terutama melibatkan kampung tradisi masyarakat berkenaan.
Dianggarkan sejumlah 67,500 hektar daripada kira-kira 135,000 hektar tanah Orang Asli itu yang masih belum diwartakan sebagai tanah rizab masyarakat tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM), Majid Suhut berkata, isu tersebut bukan sahaja tidak selesai, malah tidak menunjukkan perkembangan yang memuaskan.
Menurut beliau, tanah yang tidak diwartakan amat membimbangkan masyarakat Orang Asli kerana pihak berkuasa boleh mengambilnya pada bila-bila masa sahaja.
Katanya, kebanyakan tanah-tanah Orang Asli diwartakan sewaktu British memerintah dahulu, manakala terlalu sedikit pewartaan tanah Orang Asli dilakukan selepas kerajaan mentadbir lebih 60 tahun, selain ada Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Orang Asli.
“Tetapi tanah yang sudah diwartakan sebelum merdeka itu mengambil kira jumlah penduduk semasa ia dilaksanakan, tetapi ia sudah wujud lama dan kawasan Orang Asli telah meningkat.
“Ini menyebabkan Orang Asli menduduki atau mengusahakan tanah-tanah di luar daripada kawasan yang diwartakan. Generasi yang tidak cukup akibat pertambahan penduduk itu akan pulang semula ke kampung tradisi mereka di sekeliling hutan dan pedalaman yang masih berstatus hutan simpan untuk teruskan kehidupan dan laksana aktiviti ekonomi mereka.
“Jadi, apabila ada yang menganggap tanah Orang Asli itu tanah kerajaan, maka mereka memohon memajukan tanah berkenaan dan diluluskan pihak tertentu dengan kuasa politik, ini menyebabkan tanah Orang Asli hilang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas lanjut, Majid berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat segera menyelesaikan isu ini.
Katanya, ini kerana POASM percaya perkara berkenaan dapat diselesaikan sekiranya kerajaan mempunyai iltizam politik.
“Biasanya alasan (tidak dapat diselesaikan) kerana bidang kuasa negeri. Walaupun bidang kuasa tanah ini di bawah kerajaan negeri, tetapi yang menjaga hak dan kepentingan Orang Asli adalah Kerajaan Persekutuan, jadi kerajaan patut mendesak pihak berkuasa negeri mewartakan.
“Malah boleh sahaja mendesak sebab Kerajaan Persekutuan ada hak terutamanya kerajaan negeri yang sealiran (politik).
“Kita bukan minta tanah baharu, tetapi tanah yang diduduki daripada generasi sebelumnya. Orang Asli pun tidak minta misalnya tanah di Kuala Lumpur walaupun sejarah ada penempatan Orang Asli di situ.
“Kami hanya minta tanah yang masyarakat Orang Asli duduk sekarang yang harus diwartakan supaya tidak diganggu gugat dan diminta pihak lain,” katanya. – UTUSAN










