Bayar RM2,000 seludup masuk Malaysia

Bayar RM2,000 seludup masuk Malaysia

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini dipercayai didalangi warga asing yang bersekongkol dengan rakyat tempatan bagi menyeludup masuk PATI dengan bayaran kira-kira RM2,000 setiap seorang.

Ini terbukti apabila, sejak 2020 hingga September lalu, seramai 137 individu terlibat dengan sindiket penyeludupan migran didalangi warga Indonesia dan etnik Rohingya berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui tangkapan ahli Geng Husin Maungdaw (Pulau Pinang), Geng Halim (Perak) dan Geng Otong (Johor).

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah D3 Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya membongkar sindiket ejen menguruskan kemasukan setiap PATI ke negara ini dengan upah bayaran RM1,500 hingga RM2,000 seorang.

Katanya, bayar tersebut bagi menampung kos pengangkutan, transit dan makan serta minum setiap migran terbabit.

Katanya, kebanyakan PATI akan dibawa masuk melalui jalan laut dengan menaiki bot yang mana tekong diberi upah kira-kira RM500 hingga RM1,000.

“Kemudian, ejen atau tekong akan berkomunikasi dengan rakyat tempatan di sini dan jika tiada halangan, mereka terus menyelinap masuk ke negara ini.

“PATI akan disambut ejen di negara ini untuk dibawa ke rumah transit sebelum dihantar ke lokasi tertentu.

“Ini juga berlaku kepada PATI yang ingin pulang ke negara mereka menggunakan laluan haram apabila ejen Malaysia di sini akan menguruskan serta mengumpulkan mereka di satu tempat sementara menunggu pengangkutan tiba,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambahnya, antara lokasi panas bagi jalan laut dengan mendarat di pesisir pantai di Selangor, Melaka dan Johor.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, selain jalan laut, sindiket juga menggunakan jalan darat yang dekat dengan pintu sempadan negara iaitu Perlis, Kedah dan Kelantan.

Jelas beliau, sejak 2021 hingga tahun ini, seramai 1,213 individu yang berperanan sebagai ejen, tekong dan transporter berjaya diberkas.

Ujarnya, dalam tempoh sama, seramai 7,517 PATI turut ditahan melibatkan 1,873 orang pada 2021, 3,869 orang (2022) dan setakat tahun ini, kira-kira 1,775 orang telah diseludup.

“Tangkapan ini membabitkan warga Indonesia, Myanmar, Thailand, Bangladesh, Kemboja, Filipina dan lain-lain.

“Pembanterasan jenayah penyeludupan migran merupakan salah satu tumpuan utama pihak polis. Melalui D3, kita sentiasa melakukan pemantauan dan memperhebatkan tindakan pencegahan melalui operasi dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, ia merupakan jenayah rentas sempadan yang begitu kompleks kerana mengancam kedaulatan sesebuah negara selain memerlukan kerjasama pihak lain.

“PDRM akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana sindiket atau individu yang terlibat mengikut segala peruntukan undang-undang sedia ada,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×