PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak mengelak daripada memberi keterangan kepada polis sebaliknya terpaksa menangguhkan proses tersebut bagi menjalani rawatan di sebuah hospital di Terengganu.
Setiausaha Politiknya, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada pihak polis berkaitan rawatan tersebut seawal pukul 8 pagi, kelmarin.
Menurut beliau, rawatan antibiotik yang mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam itu menyebabkan proses rakaman percakapan tidak dapat dilakukan pada hari tersebut (Sabtu).
“Ini menyebabkan Tok Guru (Abdul Hadi) terlepas temu janji (rakam keterangan) dengan pihak polis kerana rawatan selesai pada 11.30 pagi sebelum bertolak ke Kuala Lumpur pada 12 tengah hari.
“Jadi saya telah memaklumkan terlebih awal pada 8 pagi dan mereka (polis) setuju serta berikan tarikh baru iaitu hari ini,” kata beliau ketika ditemui di Pejabat Pas Pusat, Jalan Raja Laut di sini hari ini.
Mohd. Syahir turut menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Marang itu cuba mengelak daripada disoal siasat polis susulan penyebaran gambar pertemuan dan mesyuarat Abdul Hadi melibatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan empat Menteri Besar daripada Pas.
BERKOMUNIKASI
Kata beliau, pihaknya sentiasa berkomunikasi dengan Bukit Aman berkaitan perkara tersebut.
“Jadi tidak timbul soal Tuan Guru tidak sihat atau berhelah dan mengelak untuk dirakam keterangan
“Pertemuan dengan Tun M serta mesyuarat bersama empat Menteri Besar itu sememangnya dalam jadual asal,” katanya.
Semalam, Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin mempersoalkan sama ada Abdul Hadi, benar-benar menghadapi masalah kesihatan selepas beliau dilihat menghadiri pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir.
Razeef dilapor membangkitkan isu itu selepas polis sebelum ini memaklumkan proses mengambil keterangan Abdul Hadi ditangguhkan kerana Presiden Pas itu menghadapi masalah kesihatan dan masih uzur.
“Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, polis sepatutnya mengambil keterangan Abdul Hadi hari ini (Sabtu) namun ditangguhkan kerana masalah kesihatan dialaminya.
“Namun petang tadi (Sabtu), hari yang sama Abdul Hadi bersama empat Menteri Besar daripada Pas serta Setiausaha Agung Pas (Datuk Seri Takiyuddin Hasan) melakukan kunjungan ke kediaman (Dr) Mahathir,” kata Razeef.- UTUSAN