Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar - Utusan Malaysia

Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Solok, Rembau, petang tadi.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Tiga beranak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka didiami mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Solok, Chengkau, di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Pegawai Bomba Tinggi, Zaini Saleh berkata, sebaik menerima panggilan pukul 4.59 petang, seramai sembilan pegawai dan anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, pihak bomba berhadapan dengan kesukaran untuk sampai ke lokasi berikutan laluan kampung yang agak sempit dan hanya tiba pada pukul 5.08 petang. 

“Sebaik sampai kediaman separuh batu dan kayu itu sudah pun terbakar kira-kira 75 peratus. Kami berjaya mengawal kebakaran kira-kira 20 minit kemudian. Kediaman ini dianggarkan terbakar kira-kira 80 peratus,” katanya sambil memberitahu punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

SUHAIMI Aini (kiri) melawat Zainab (dua dari kanan) yang rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Solok, Rembau petang tadi.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.

Sementara itu, pemilik rumah tersebut, Zainab Abdullah, 71, berkata, dia hanya mengetahui kejadian tersebut selepas dimaklumkan penduduk kampung sebaik sahaja pulang dari bekerja dengan menaiki bas.

Menurut Zainab, dia tidak memiliki telefon bimbit dan apabila sampai ke rumahnya, hanya bahagian tandas sahaja tidak lagi musnah

“Rumah ini usianya lebih tua daripada saya, memang sangat sedih walaupun tiada barang yang berharga namun banyak pemberian saudara serta kenalan yang musnah terbakar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini berkata, buat masa ini tiga beranak berkenaan akan ditempatkan di balai raya berdekatan sementara pihaknya mencari rumah bersesuaian.

Mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0530029858424813 di atas nama Zainab Abdullah.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN