Tidak perlu peta baharu, UNCLOS jaga hak Malaysia - Utusan Malaysia

Tidak perlu peta baharu, UNCLOS jaga hak Malaysia

Dr. Azmi Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) masih terpakai dan melindungi hak kedaulatan serta perairan sesebuah negara mengikut perundangan ma­ritim antarabangsa.

Oleh itu, Felo Kanan Akademi Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, Malaysia tidak perlu mengeluarkan peta baharu kawasan geografi negara seperti dilakukan China.

Menurut beliau, walaupun dengan mengeluarkan peta baharu bakal menunjukkan ketegasan Malaysia dalam memelihara hak wilayah tetapi keadaan ketika ini belum begitu kritikal untuk menentukan kedaulatan sesebuah negara.

Kata Azmi, kandungan Peta Malaysia 1979 merangkumi kedaulatan negara dalam lingkungan 12 batu nautika dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) telah dibenarkan di bawah UNCLOS.

Malah beliau berkata, cada­ngan sebarang penerbitan peta baharu dipercayai tidak akan mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti yang dilakukan oleh China baru-baru ini.

“Memang ada logik untuk buat peta baharu kerana status pemilikan Batu Puteh, tetapi tidak boleh juga kerana Tubir Selatan belum ditentukan siapa pemiliknya.

“Malah, ia tidak perlu, kerana kawasan EEZ itu di belakangnya ada UNCLOS iaitu perundangan antarabangsa. Ini dianggap kuat daripada kita menerbitkan peta yang tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti China buat,” katanya.

PAKAR

Kelmarin akhbar ini memetik pandangan pakar undang-undang maritim antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli bahawa Malaysia harus mengeluarkan peta terbaharu yang menunjukkan dengan jelas wilayah maritim negara di Laut China Selatan setelah kali terakhir dibuat pada 1979.

Mohd. Hazmi berkata, tindakan China mengeluarkan Peta Standard Edisi 2023 menuntut langkah segera kerajaan termasuk agensi di bawahnya mengeluarkan peta terkini Malaysia yang menunjukkan persempadanan terkini negara termasuk hak ke atas perairan di Sabah dan Sarawak

Isu Laut China Selatan sebelum ini kembali diperbincangkan setelah Kementerian Sumber Asli China mengeluarkan peta baharu yang menunjukkan kawasan sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak dimasukkan sebagai sebahagian wilayah negara itu.

Sementara itu, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, sebarang langkah memperbaharui Peta Malaysia 1979 hanya boleh dilakukan selepas Malaysia berjaya memperoleh sebarang tuntutan bertindih berhubung mana-mana kawasan dan perairan dipertikai sebelum ini.

Katanya, cadangan mengeluarkan peta baharu itu boleh mengundang reaksi antarabangsa khususnya China yang mungkin kurang bersetuju dengan tindakan berkenaan.

“Jadi, Malaysia perlu bersedia dengan reaksi ini, apatah lagi membabitkan tuntutan bertindih. Ada kesannya kepada pandangan antarabangsa meskipun ia demi menjaga kedaulatan negara.
“Peta baharu hanya dikeluarkan jika disahkan kita memiliki tuntutan baharu, tetapi setakat ini belum ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN