TH dapat semula aset RM19.9 bilion - Utusan Malaysia

TH dapat semula aset RM19.9 bilion

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni mantan Pengarah Urusan Tabung Haji (1964-1965), Tan Sri Hanafiah Hussain pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji di Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyerahkan semula aset-aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindahkan kepada Syarikat Bertujuan Khas (SPV) pada tahun 2018 ketika di bawah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kewangan dipegangnya berpuas hati dengan prestasi kewangan TH yang terus pulih.

Menurut beliau, kerajaan berpuas hati dengan masalah pengurusan dan tatakelola TH selepas bergelut dengan isu-isu kepincangan yang bermula sejak tahun 2015.

Kata Anwar, penyerahan semula aset-aset itu membuktikan dakwaan pihak tertentu kononnya aset TH yang diletakkan kepada SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah tidak benar.

“Selepas meneliti, saya beri­tahu dari awal, sebaik TH diurus dengan baik dan meyakinkan, maka MOF (Kementerian Kewangan) akan memulakan perbincangan menyerahkan semula aset yang diamanahkan kepada SPV.

“Ini juga untuk mematikan fitnah kepada Menteri Kewa­ngan ketika itu kononnya sudah memindahkan aset ini kepada bukan Islam,” kata Perdana Menteri pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji di sini semalam.

Dilaporkan pada Disember 2018, TH memindahkan aset yang tidak menguntungkan semuanya bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada SPV sebagai langkah untuk memantapkan kedudukan kewangannya semula.

Antara aset TH yang dipindahkan kepada SPV adalah Tun Razak Exchange (TRX); TH Hotel Terengganu, Alor Setar, Kota Kinabalu dan Ba­yan Lepas; Hicom Glenmarie; Platinum Park serta Precint 4 Putrajaya.

Pegangan ekuiti pula yang dipindahkan daripada TH kepada SPV adalah Alam Ma­ritim Resources Berhad, Axiata Group Berhad, Boustead Heavy Industries Corporation, Boustead Plantations Berhad, Brahims Holdings Berhad, Felda Global Ventures Holdings Berhad dan Gamuda Berhad.

Aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti dengan SPV itu dimiliki oleh Kementerian Kewangan.
Mengulas lanjut Anwar berkata, beliau sudah mengarahkan kementeriannya untuk berbincang dengan pihak yang berkenaan supaya pemindahan aset tersebut dapat dilaksanakan.

BERBINCANG

“(Kerajaan akan serah) semua aset. Kita dah mula dan arah berbincang, mungkin diambil secara berperingkat untuk pastikan pemulangannya itu baik.

“Tetapi ia sendirinya menjawab segala tohmahan dan fitnah sebelum ini bertahun-tahun dan berbakul-bakul fitnah mengatakan ia dijual.

“Ia tidak dijual, masih kekal dan sebagai satu amanah, sekarang (MOF) sedang berunding dari segi kos dan tanggungan semuanya,” katanya.

Ditanya mengenai nilai semasa aset yang akan diserahkan, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, angkanya tidak boleh diumumkan lagi buat masa ini.

“(Angkanya) tentu ada, sedang dibincangkan Tabung Haji, tak boleh nak umumkan lagi sebelum ia diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, TH dalam kenyataan berkata, pihak­nya akan memulakan segera perbincangan dengan Kementerian Kewangan berkaitan pengambilan semula asetnya yang pernah dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat dimiliki sepenuhnya oleh kementerian tersebut.

“TH sentiasa terbuka kepada semua peluang pelaburan yang boleh memberi nilai tambah kepada institusi dan juga pendeposit khususnya.

“Usaha ini juga akan dikaji secara terperinci dan akan me­lalui proses dan tatakelola sedia ada. TH akan membuat pengumuman seterusnya ber­kenanaan perkara ini pada masa yang sesuai,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN