TINGGAL dua hari lagi menuju hari penentuan, semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram semakin meningkatkan momentum kempen masing-masing.
Sama ada calon di Parlimen Pulai mahu pun DUN Simpang Jeram, semuanya sudah bergerak dengan kelajuan ‘gear lima’ untuk meraih lebih banyak sokongan.
Pelbagai usaha dan strategi dilakukan, sama ada menerusi kempen perdana, edaran risalah, kibaran bendera, logo dan gambar calon, mahu pun bergerak dari rumah ke rumah. Semuanya dilakukan demi memenangkan calon masing-masing.
HARAPAN
Malah, calon Bebas di kedua-dua kerusi tersebut tidak ketinggalan, terus gigih bertemu pengundi walaupun tidak diletakkan harapan besar untuk memenangi pertarungan yang dilihat sengit antara calon Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN).
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ini boleh diibaratkan sebagai pertarungan ‘maruah’ antara PH yang kini bersekutu dengan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan dengan PN.
Kemenangan bagi kedua-dua gabungan parti terbesar ini amat penting untuk menjaga maruah masing-masing, khususnya bagi PH-BN yang pastinya akan bertarung habis-habisan bagi mempertahankan kedua-dua kerusi tersebut yang dimenangi oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebelum ini.
Kemenangan calon PH-BN, iaitu Suhaizan Kayat di Parlimen Pulai dan Nazri Abdul Rahman di DUN Simpang Jeram bukan sahaja mampu mengekalkan status quo di Parlimen dan DUN Johor, malah mampu menjaga ‘air muka’ kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Apatah lagi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini ‘mencalar’ imej kerajaan perpaduan.
GOYAH
Andai calonnya tewas, keputusan itu pastinya menjadi cerminan terhadap sokongan rakyat terhadap kerajaan perpaduan dan dianggap sebagai manifestasi bahawa sokongan terhadap Anwar kian goyah.
Namun bagi Parlimen Pulai, sokongan terhadap Suhaizan yang ditampilkan sebagai ‘ayam sabung’ PH-BN dilihat terus mendahului calon PN, Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
Berdasarkan kempen dan respons orang ramai, ada yang meramalkan sokongan terhadap Suhaizan dan seteru utamanya, Zulkifli pada tahap 60-40.
Walaupun pada awalnya sokongan pengundi Melayu agak rendah dan masih ‘samar’, namun dengan pelbagai penjelasan yang dilakukan oleh ramai pemimpin, khususnya pemimpin UMNO dapat meningkatkan sokongan daripada penyokong tegar parti itu terhadap Suhaizan. Sokongan daripada pengundi Cina pula dilihat kekal bersama-sama PH.
Pembebasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan, baru-baru ini dilihat tidak memberi kesan besar, tetapi perlu ditangani dan diberi penjelasan segera supaya tidak menjadi ‘duri dalam daging’ terhadap sokongan, khususnya pengundi Melayu dan golongan muda terhadap PH-BN.
Hakikatnya, misi PH-BN cukup besar, bukan sahaja berusaha untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pulai, malah yang paling utama memenanginya dengan majoriti lebih besar daripada yang diperoleh Allahyarham Salahuddin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), iaitu 33,175 undi. – UTUSAN










