JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 2,910,200 batang rokok putih pelbagai jenama dalam dua serbuan berasingan di Johor, Pahang dan Terengganu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM3.9 juta.
Katanya, dalam serbuan pertama, anggota kastam negeri ini menahan sebuah lori perdagangan di Cawangan Eksport, Bangunan Sultan Iskandar di sini pada 6 September lalu.
“Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan dan hasil pemeriksaan terhadap lori berkenaan menemukan sejumlah 830,000 batang rokok putih yang dipercayai belum lulus kastam untuk diseludup ke Singapura.
“Jumlah nilai rampasan rokok termasuk duti dan cukai sebanyak RM730,400. Bagaimanapun kes ini telah selesai dengan suspek mengaku salah setelah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 19 September dan dihukum penjara enam bulan dari tarikh ditangkap,” katanya di sini, semalam.
Sazali berkata, modus operandi tidak mengikrarkan rokok menggunakan lori dagangan ke negara jiran.
Dalam serbuan kedua pada 12 September lalu, pihaknya melakukan risikan selama dua minggu sebelum berjaya mengesan tiga buah premis kediaman, masing-masing di Jerantut, Pahang dan Marang, Terengganu dijadikan stor simpanan rokok seludup.
Sebanyak 2,080,200 batang rokok kretek dan putih pelbagai jenama dirampas bernilai RM3.2 juta termasuk cukai dan duti import.
Katanya, sindiket tersebut menjadikan premis di kawasan kediaman sebagai tempat penyimpanan rokok yang belum lulus cukai dan duti kastam yang dipercayai diimport dari luar negara termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Usaha mengesan pemilik premis berkenaan sedang giat dijalankan.
Kedua-dua kes disiasat dan diambil tindakan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN










