Britain gesa FIFA siasat pemain Argentina bawa sepanduk Falkland

Britain gesa FIFA siasat pemain Argentina bawa sepanduk Falkland

PERTAHANAN Argentina, Nicolas Otamendi (kiri) dan pemain tengah, Giovani Lo Celso memegang kain rentang yang berbaur politik selepas mara ke final Piala Dunia 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kerajaan Britain menggesa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjalankan siasatan selepas pemain Argentina mengibarkan sepanduk bertulis “Las Malvinas son Argentinas” (Kepulauan Falkland adalah milik Argentina) sejurus menewaskan England 2-1 pada aksi separuh akhir Piala Dunia, kelmarin.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menerusi pejabatnya di Downing Street menyokong gesaan yang dibuat Menteri Perniagaan, Peter Kyle yang menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran serius terhadap peraturan FIFA yang melarang penggunaan simbol atau mesej berunsur politik di atas padang.

“Piala Dunia mungkin bukan milik kami, tetapi Kepulauan Falkland tetap milik Britain,” kata jurucakap Downing Street.

Kyle berkata, politik tidak seharusnya dicampuradukkan dengan sukan dan berharap FIFA menyiasat insiden tersebut secara menyeluruh.

“Piala Dunia berpegang kepada prinsip bahawa politik perlu dipisahkan daripada bola sepak. Justeru, kami menjangkakan FIFA akan menjalankan siasatan terhadap perkara ini,” katanya.

Setakat ini, FIFA masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan.

Pertikaian mengenai Kepulauan Falkland atau dikenali sebagai Islas Malvinas di Argentina telah berlarutan sejak sekian lama.

Argentina menyerang wilayah luar negara Britain di Atlantik Selatan itu pada 1982 sebelum Britain merampas semula kepulauan berkenaan selepas perang singkat yang mengorbankan 649 anggota tentera Argentina dan 255 anggota tentera Britain.

Britain mentadbir Falkland sejak abad ke-19, namun Argentina terus menuntut kepulauan itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Presiden Argentina, Javier Milei mempertahankan tindakan pemain negaranya sambil menyifatkan mesej pada sepanduk itu sebagai sesuatu yang sah dan wajar.

“Ia adalah sentimen yang dikongsi oleh seluruh rakyat Argentina.

“Bagaimanapun, bola sepak tetap bola sepak dan politik tidak seharusnya dicampuradukkan dengan sukan. Kepulauan Malvinas adalah milik Argentina dan kami akan berusaha mendapatkannya semula menerusi saluran diplomatik,” katanya.

Sebelum perlawanan berlangsung, Naib Presiden Argentina, Victoria Villarruel turut mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan rakyat England sebagai lanun yang merampas hak orang lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Argentina, Pablo Quirno memaklumkan Buenos Aires telah mengemukakan bantahan diplomatik kepada Britain berhubung pelayaran kapal perang HMS Medway berhampiran Kepulauan Falkland.

Menurut Quirno, kapal perang yang berpangkalan di Falkland itu didakwa melalui perairan wilayah Argentina tanpa notis sewajarnya, sekali gus melanggar perjanjian dua hala antara kedua-dua negara. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN