RM30 juta bantu usahawan IKS di Johor - Utusan Malaysia

RM30 juta bantu usahawan IKS di Johor

RUBIAH WANG (dua dari kanan) mengadakan lawatan gerai pameran pada Program Jom Bisnes Negeri Johor 2023 di Kompleks Usahawan di UTM Skudai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Amanah Rakyat (Mara) Negeri Johor  memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi tempoh Januari hingga bulan lalu kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, peruntukan itu dimanfaatkan oleh 285 usahawan menerusi kemudahan Skim Pembiayaan Perniagaan Mara bagi membolehkan mereka meningkatkan kapasiti dalam bidang perniagaan mahupun industri yang diceburi.

Kemudahan premis perniagaan juga disediakan kepada usahawan, iaitu sebanyak 931 lot perniagaan menerusi 60 projek di kesemua 10 daerah di negeri ini.

“Peruntukan sama turut diberikan kepada 100 pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan meliputi tiga buah sekolah terpilih selain bantuan cermin mata menerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM).   

“Kita juga memberi geran dalam bentuk kemudahan inkubator Mara melalui Start-Up Accelarator Program (STAR) dalam bidang Teknologi Kreatif dan Multimedia lepasan TVET Mara yang mempunyai minat untuk meneruskan kerjaya sebagai usahawan.

“Selain itu, bantuan geran peralatan turut diberikan kepada usahawan-usahawan yang telah melaksanakan perniagaan tetapi masih kekurangan modal dari sudut peralatan dan sebagainya,” katanya selepas Program Jom Bisnes Negeri Johor 2023 di Kompleks Usahawan Teknologi Mara, Technovation Park, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah.

Mengulas tentang perkembangan program Gate to Global (GTG) anjuran Mara, beliau berkata, ia bertujuan membantu melonjakkan lagi kedudukan Bumiputera bukan sahaja dalam negara, bahkan memberi ruang kepada mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Menurutnya, usahawan yang berpotensi dan memiliki pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dapat menyertai Program Gate to Global (GTG) menerusi promosi atau ekspo antarabangsa.

Katanya, golongan usahawan itu juga mendapat akses untuk mengeskport produk mereka ke luar negara menerusi padanan perniagaan dengan pemain-pemain industri.

“Hingga kini, terdapat seramai 167 usahawan berada di bawah program GTG ini, 57 daripadanya merupakan usahawan yang aktif. Mereka ini merupakan usahawan yang kita bantu, bantu promosi menerusi kerjasama dengan agensi tertentu di ekspo dan pameran yang diadakan di luar negara.

“Syarat untuk sertai GTG adalah sekurang-kurangnya produk yang dihasilkan dipasarkan di dua buah negara. Alhamdulillah, pada tahun lalu kita telah adakan ekspo dan pameran perniagaan di Dubai dan kita bawa tiga usahawan tempatan untuk membuat jaringan perniagaan dengan pihak yang berkepentingan menerusi ekspo berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya