PETALING JAYA: Kerajaan membelanjakan kira-kira RM1.87 juta sehari bagi menampung 20,775 tahanan warga asing yang ditempatkan di depot imigresen di seluruh negara, berdasarkan kos sekitar RM90 seorang sehari.
Data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menunjukkan jumlah tahanan terus meningkat sejak 2023, iaitu daripada 12,092 orang kepada 15,917 pada 2024 diikuti 18,961 (2025) dan 20,775 (setakat 31 Mac lalu).
Daripada jumlah terkini itu, seramai 16,642 adalah lelaki manakala 4,133 wanita dengan kesemua mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki pas sah, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas dan menggunakan dokumen palsu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, lima warganegara yang merekodkan jumlah tahanan tertinggi di depot imigresen seluruh negara ialah Myanmar, Filipina, Indonesia, Bangladesh dan Thailand.
“Berdasarkan rekod kita, sebanyak 64 peratus tahanan berada di depot imigresen kurang daripada lima bulan, 15 peratus antara enam hingga 11 bulan manakala 21 peratus lagi melebihi tempoh setahun setakat 31 Mac lalu.
“Tempoh keberadaan mereka di depot adalah bergantung kepada proses verifikasi identiti serta pengeluaran dokumen perjalanan atau pasport oleh kedutaan negara asal masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, kelewatan penghantaran pulang biasanya berlaku membabitkan tahanan yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah sehingga memerlukan proses pengesahan kewarganegaraan sebelum dokumen baharu dapat dikeluarkan.
“Bagi tahanan yang mempunyai dokumen perjalanan sah pula, pihak keluarga atau majikan boleh terus menguruskan pembiayaan tiket penerbangan untuk penghantaran pulang ke negara asal.
“Selain itu, terdapat juga sebilangan kecil tahanan yang masih diperlukan oleh agensi penguatkuasaan lain bagi tujuan deposisi dan siasatan menyebabkan proses pemindahan mereka ditangguhkan,” jelasnya.
Namun begitu, Zakaria berkata, JIM terus komited mengurangkan beban kewangan kerajaan selain memastikan pengurusan tahanan di depot dilaksanakan secara lebih efisien.
Katanya, antara langkah utama yang diperkenalkan ialah Program Pengurusan Tinggal Lebih Masa (Overstay Management Programme) yang berkuat kuasa sejak 21 Oktober 2025.
Jelasnya, melalui program itu, warga asing yang tinggal lebih masa kurang daripada 90 hari dibenarkan menyelesaikan kes tanpa melalui proses mahkamah menerusi bayaran kompaun sekali gus mempercepatkan pengurusan kes dan mengurangkan kesesakan di depot tahanan.
“Program tersebut terbuka kepada pemegang pas sah seperti Pas Lawatan Sosial, Pas Pelajar, Pas Penggajian dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tinggal lebih masa bawah 90 hari.
“Bagaimanapun, warga asing yang tinggal lebih masa melebihi 90 hari, disenarai hitam, mempunyai rekod jenayah atau kesalahan berulang tidak layak menyertai program itu,” ujarnya.
Zakaria berkata, kadar kompaun dikenakan ialah RM30 sehari bagi tempoh tinggal lebih masa antara satu hingga 30 hari diikuti 31 hingga 60 hari (RM1,000) dan untuk tempoh 61 hingga 90 hari (RM2,000).
Selain itu, beliau berkata, Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) yang dilaksanakan dari 19 Mei 2025 hingga 30 April lalu turut membantu mengurangkan jumlah tahanan secara signifikan.
“Menerusi program itu, pendatang asing tanpa izin (PATI) dibenarkan pulang secara sukarela tanpa tindakan pendakwaan selain dikenakan kompaun mengikut kesalahan masing-masing.
“Setakat 12 April lalu, seramai 228,961 PATI telah mendaftar di bawah program tersebut dengan jumlah kutipan mencecah RM 114.58 juta,” jelasnya.
Dalam masa sama, Zakaria memberitahu, JIM turut melaksanakan penghantaran pulang tahanan setiap hari bagi mengelakkan tempoh penahanan berpanjangan yang boleh meningkatkan kos pengurusan kerajaan.
“Kita (JIM) menjalinkan kerjasama dengan pelbagai kedutaan asing bagi mempercepatkan proses dokumentasi serta penghantaran pulang tahanan ke negara asal masing-masing.
“Kerjasama ini bergantung sepenuhnya kepada tindakan segera pihak kedutaan dalam mengeluarkan dokumen perjalanan yang sah,”ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, JIM terus berusaha melaksanakan proses penghantaran pulang tahanan dengan segera melalui jalinan kerjasama strategik bersama perwakilan asing bagi urusan pengeluaran dokumen perjalanan.
“Pada masa yang sama, kos operasi depot imigresen akan diuruskan secara lebih efisien melalui pelbagai inisiatif strategik termasuk pelaksanaan dasar baharu, program pemulangan sukarela, penguatkuasaan tegas serta pembaharuan sistem.
“Dalam masa yang sama, JIM terus memperkukuh kerjasama dengan kedutaan asing bagi memastikan proses dokumentasi dan penghantaran pulang tahanan dapat dilaksanakan dengan segera, teratur dan mematuhi prinsip kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN










