Polis ambil keterangan Muhyiddin Isnin

Polis ambil keterangan Muhyiddin Isnin

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis akan mengambil ke­terangan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muh­yiddin Yassin Isnin depan berhubung kenyataannya mengenai ‘fatwa’ mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dalam satu ceramah di Johor.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kenyataan itu akan diambil pegawai perakam.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut lokasi keterangan itu akan diambil.

“Kita akan rakam ke­terangan pada 11 September ini (Isnin) pada pukul 9.30 pagi,” katanya.

Media kelmarin melaporkan, siasatan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Tindakan itu dibuat selepas polis menerima satu laporan terhadap kenyataan Muhyiddin itu yang dibuat, kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain berkata, siasatan terhadap Muhyiddin di­jalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Terdahulu, tular satu video dalam media sosial menunjukkan bekas Perdana Menteri itu dikatakan mengeluarkan fatwa ‘haram’ mengundi calon PH, Suhaizan Kayat.

Muhyiddin didakwa berkata sedemikian ketika berucap dalam kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai di Nusa Bestari, Johor Bahru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN