Pinda Perlembagaan, tidak perlu lagi PRK luar jangka - Utusan Malaysia

Pinda Perlembagaan, tidak perlu lagi PRK luar jangka

WAN AHMAD WAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan luar jangka ekoran kematian penyandang kerusi itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan wajar dibuat sedikit pindaan dengan mewujudkan satu peruntukan khas berkaitan ketetapan itu.

Beliau berkata, banyak kebaikan kepada rakyat dan negara terutama dalam penjimatan wang untuk menjalankan PRK yang melibatkan kos RM4 juta ke RM6 juta.

“Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara perlu mengkaji keperluan itu dalam konteks demokrasi politik negara ini.

“Kewujudan peruntukan khas itu antaranya memberi tanggungjawab kepada parti yang menang kerusi berkenaan sebagai pihak yang akan berhak dan bertanggungjawab menjaga kepentingan atau perkhidmatan kepada pengundi atau rakyat di kawasan terlibat,” katanya semalam.

KEMATIAN

Pada 7 Oktober ini, PRK DUN Pelangai Pahang menjadi PRK keempat tahun ini susulan kematian pe­nyandangnya Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Bulan lalu, PRK luar jangka kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Terdahulu, Parlimen Kuala Terengganu muncul PRK pertama yang diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu ekoran keputusan mahkamah membatalkan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak yang juga bekas Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip meninggal dunia dua hari lalu sekali gus bakal menyaksikan satu lagi PRK perlu dilaksanakan.

Mengikut rekod, negara menyaksikan 16 kali PRK dalam tempoh 2008 hingga 2013, diikuti masing-masing 12 kali PRK (2013-2018) dan (2018-2022).

Perbelanjaan besar bagi menjalankan PRK dapat dilihat sebagai contoh untuk PRK Pulai dan Simpang Jeram yang baru berlangsung, SPR membelanjakan RM6 juta.

PENENTUAN

Wan Ahmad berkata, SPR agak sukar menetapkan satu basis dalam penentuan perbelanjaan setiap PRK berpunca daripada keadaan kawasan (Parlimen/ DUN) berbeza- beza.

Katanya, jumlah pemilih yang berbeza, keadaan muka bumi, jumlah petugas, pengangkutan dan logistik diambil kira dengan anggaran kos PRK bagi Parlimen ialah antara RM4 juta hingga RM6 juta manakala bagi DUN antara RM 1.5 juta hingga RM3 juta.

Bersandarkan fakta anggaran kos tersebut, beliau menjakgkakan jika purata 20 PRK perlu dibuat dalam tempoh tiga tahun (dua tahun terakhir penggal Parlimen /DUN kekosongan tidak perlu dibuat PRK), kira-kira sejumlah RM120 juta perlu disediakan oleh Kementerian Kewangan sebagai bajet untuk PRK.

“Pembaziran wang rakyat juga bertambah yang dibelanjakan setiap agensi kerajaan terlibat membantu SPR dalam menjayakan proses pilihan raya.

“Selain itu, parti-parti politik terpaksa membelanjakan kos tinggi setiap kali terlibat bertanding dalam PRK,” katanya

Dalam konteks aktiviti politik kepartian yang melampau dan keterlaluan, katanya, aktiviti pilihan raya amat mengganggu ketenteraman, keharmonian antara rakyat.

Kerana politik, parti-parti politik menjalankan aktiviti berkempen sepanjang tahun, tidak berkesudahan melalui ceramah, dakyah dan fitnah, fatwa songsang termasuk di media sosial.

“Negara menjadi tidak tenteram dan tidak stabil. Suhu politik panas punca ketidakstabilan politik berpanjangan.

“Keadaan ini amat menjejaskan ekonomi dan merugikan rakyat dn negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×