PUTRAJAYA: Perpaduan antara berbilang bangsa dan kaum merupakan kunci utama kepada keharmonian serta kesejahteraan rakyat mahupun negara.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ia bersesuaian dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuh Harapan.
“Malah keutuhan perpaduan ini adalah juga kunci utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara serta benih dan sumber kekuatan bagi kita menghadapi apa jua cabaran semasa serta mendatang.
“Rakyat wajar mengimbau kembali lebih enam dekad yang lalu di mana semangat kenegaraan dan cintakan tanah air telah menyatupadukan rakyat sekaliannya dengan tekad dan iltizam sehingga kemerdekaan yang diidamkan menjadi realiti,” titah Seri Paduka.
Dalam sambutan Ulang tahun Kemerdekaan Negara Ke-66 semalam, Seri Paduka dan dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyantuni rakyat.
Seri Paduka berdua berkenan mencemar duli dengan meluangkan masa hampir 30 minit berjalan kaki kira-kira 300 meter untuk bersua dan bersalam dengan rakyat sebelum berangkat pulang sebaik tamat acara sambutan hari bersejarah negara.
Rata-rata rakyat teruja dapat bersalaman dan berpeluang merakamkan kenangan istimewa bersama Seri Paduka berdua.
Tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong akan berakhir pada 30 Januari 2024 dan sambutan Hari Kebangsaan ini adalah terakhir di bawah naungan baginda.
Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar Malaysia terus dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang berkekalan serta dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana.
Baginda berdua turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat di negara ini mahupun di luar negara.
Seri Paduka berdua merafak setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia-Nya, seluruh rakyat Malaysia bersama meraikan ulang tahun hari bersejarah ini, pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-66 tahun, dalam suasana harmoni serta aman dan damai. – UTUSAN










