KUALA TERENGGANU: Permintaan beras tempatan dijangka meningkat lebih 60 peratus selepas kenaikan harga beras putih import sejak 1 September lalu.
Pengguna yang menggunakan beras import kini memilih beras tempatan selepas kenaikan harga beras import tersebut.
Ketua Pegawai Operasi, Al-Amin Barakoh Sdn. Bhd., Mohd. Khairul Nizam Mohd. Rozali berkata, syarikat itu bersedia menambah bekalan beras jenama Beras Ganu sehingga 68 peratus selepas kenaikan beras import.
Menurut beliau, pengguna akan memilih beras tempatan kerana murah.
“Pihak syarikat mengeluarkan beras jenama Beras Ganu sebanyak 60 tan metrik sejak beroperasi Julai lalu.
“Bagaimanapun, jumlah pengeluaran beras meningkat sehingga 68 peratus bagi memenuhi permintaan di pasaran selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Semalam, Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) mengumumkan kenaikan harga beras putih import daripada RM2,350 kepada RM3,200 bagi setiap tan metrik bermula pada Jumaat.
Mohd. Khairul Nizam berkata, pada masa ini, syarikatnya menjual Beras Ganu pada harga RM12.90 bagi setiap beg lima kilogram (kg) dan RM26.60 (10kg).
Tinjauan mendapati kebanyakan peniaga tidak menaikkan harga beras import apabila dijual antara RM15.90 (5 kg) hingga RM49 (10 kg) mengikut jenama.
Sementara itu, seorang pengguna, Fatimah Hassan, 46, berkata, dia selama ini menggunakan beras tempatan dan kenaikan beras import tidak menjejaskan perbelanjaannya.
Bagaimanapun, katanya, dia mengharapkan kerajaan tidak menaikkan harga beras tempatan.
“Kebanyakan beras tempatan yang dijual di pasaran tetap berkualiti iaitu hampir sama beras import,” ujarnya. – UTUSAN










