MUAR: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyeru pengundi bukan Melayu di Johor mengetepikan sentimen ketakutan terhadap Perikatan Nasional (PN) terutama Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu ini.
Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, perasaan takut itu perlu dialihkan kepada golongan perompak, perasuah serta orang yang tidak jujur dan ikhlas dalam memimpin negara.
Tegas beliau, pengundi bukan Melayu perlu melihat bagaimana Pas mentadbir Kelantan selama lebih empat dekad, yang mana masyarakat berbilang kaum dapat menjalani kehidupan seperti biasa, selain tiada kes-kes rasuah membabitkan pimpinan kerajaan negeri.
“Jadi tuan-tuan khususnya pengundi bukan Melayu di Simpang Jeram dan di Pulai, jangan takut dengan PN, jangan takut dengan Pas. Yang kita takut adalah perompak, yang kita takut adalah perasuah, yang kita takut adalah orang yang tidak jujur dan ikhlas dalam memimpin negara dan umat Malaysia ini.
“Pas telah memerintah Kelantan hampir empat dekad, di Terengganu tiga dekad. Sekarang di Kedah, Perlis tidak ada satu pun amalan rasuah dan salah guna kuasa yang telah dilakukan oleh PN khususnya Pas di negeri Kelantan dan juga Terengganu.
“Orang-orang Cina dan India juga hidup aman, makmur dan harmoni di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka boleh lakukan di dua buah negeri ini, insya-Allah calon PN di Simpang Jeram dan juga di Pulai pastinya akan berpegang kepada prinsip dan idealisme.
“Perjuangan yang cukup jelas bahawa dasar kita adalah untuk mengangkat martabat umat dan seluruh bangsa Malaysia di negara dan negeri kita,” katanya ketika berucap dalam Grand Finale PN Simpang Jeram di sini, malam tadi.
Tambah Mohamed Azmin, PN sudah diuji dan teruji berjaya menguruskan Malaysia, meskipun berhadapan situasi tidak terjangkau seperti pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara.
Jelasnya, pengiktirafan Bank Dunia terhadap kedudukan tertinggi Malaysia di Asia Tenggara dalam menangani Covid-19 adalah bukti kemampuan PN dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin menjaga kepentingan semua kaum.
“Kita bersyukar ke hadrat Allah kerana PN telah diuji dan kita teruji, kalau dalam keadaan unprecedented (belum pernah berlaku sebelum ini) pun kita berjaya menguruskan ekonomi dengan baik, menyelamatkan rakyat Malaysia keseluruhannya.
“Memberi bantuan kepada semua tanpa mengira agama kaum dan ideologi politik. Bila kita bantu gaji upah subsidi, kita bantu orang Melayu, kita bantu orang India, kita bantu orang Cina kerana PN adalah parti bagi semua kaum dan agama dalam Malaysia termasuk di Johor ini,” katanya. – UTUSAN