AHLI akar umbi UMNO di Pelangai, Bentong, Pahang berharap kepimpinan parti itu membuat tapisan teliti agar tidak tersilap memilih calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini.
Tsunami politik dan penolakan rakyat, kesilapan memilih calon tepat menjadi faktor ramai calon parti itu tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini.
Sembang-sembang dalam kalangan ahli akar umbi UMNO mahu pimpinan parti keramat itu perlu mengutamakan rakyat daripada survival politik dalam soal pemilihan calon di Pelangai.
JAWATAN
Ini kerana terdapat dakwaan survival politik pimpinan parti itu lebih diutamakan demi mahu mengekalkan jawatan pada pemilihan parti akan datang.
“Jadi soal menang atau kalah di Pelangai tidak menjadi masalah atas alasan ia tidak akan mengubah apa-apa termasuk dalam soal pentadbiran kerajaan negeri.
“Pemilihan calon di Pelangai pun dikatakan akan dipilih bukan atas faktor calon disukai rakyat tapi disukai pemimpin demi survival politiknya,” kata seorang ahli akar umbi UMNO.
Walaupun dikatakan calon winnable (boleh menang) tetapi rakyat tolak dan ahli akar umbi UMNO mengingatkan kepimpinan parti itu supaya memilih calon disukai rakyat, bukannya yang parti ataupun pemimpin suka.
Pada ketika politik Malaysia semakin matang dan rakyat bijak memilih, pemilihan calon yang sesuai adalah penting.
Rakyat kini mengundi bukan lagi atas dasar parti, tetapi atas dasar khidmat. Apa pilihan pimpinan UMNO? Calon disukai rakyat? Atau calon disukai parti atau pemimpin? Tepuk dada tanya selera.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian Datuk Seri kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Antara nama disebut-sebut ialah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh; Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Hazraf Ali Hasan dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Bentong, Fadliyatun Ahmad.
PRK ini dianggap sebagai misi wajib menang demi mengekalkan penguasaan UMNO di Pelangai sejak sekian lama dan juga kedudukan parti dalam kerajaan negeri. – UTUSAN










