Hampir separuh atau 48 peratus daripada 16,417 pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai terdiri dalam kalangan peneroka dan generasi baharu Felda.
Berdasarkan statistik kategori pemilih, terdapat 7,981 pengundi Felda membabitkan tiga penempatan peneroka iaitu Felda Chemomoi (3,122), Felda Sungai Kemasul (2,680) dan Felda Sungai Kemahal (2,179) dalam kawasan Pelangai.
Semua angka tersebut secara tidak langsung memperlihatkan generasi Felda menjadi faktor penting kemenangan tiga calon bertanding dalam PRK DUN Pelangai yang diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Seri Johari Harun daripada Barisan Nasional (BN) yang terlibat dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Ogos lalu.
DEPOSIT
Walau bagaimanapun, timbul persoalan apakah Felda tetap menjadi deposit BN atau sudah beralih kepada Perikatan Nasional (PN).
Hal ini kerana kepimpinan PN berkata kemenangan besar calon Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana sokongan peneroka dan mendakwa situasi sama tidak mustahil berulang di Pelangai.
Ditambah pula, PN kini agresif berkempen dengan membangkitkan isu membelenggu peneroka termasuk perumahan generasi kedua dan hutang serta mendakwa berjaya menembus kawasan Felda sekali gus boleh menggugat BN untuk mengekalkan kemenangan lalu.
Mahupun begitu, PN tidak boleh mendabik dada kononnya mereka akan mengulangi sejarah lalu dan menerima sokongan padu peneroka Felda dalam PRK Pelangai sedangkan kemenangan Allahyarham Johari pada pilihan raya lalu adalah hasil undi saluran Felda.
Bagi BN pula, mereka tidak boleh terlalu selesa dengan mengambil kira rekod sebelum ini kerana kecenderungan pengundi mungkin telah berubah dalam tempoh 11 bulan sejak PRU15 diadakan pada November 2022.
Apatah lagi hanya generasi baharu Felda di Pelangai dipercayai telah beralih kepada PN berbanding generasi pertama yang masih kekal dan setia menyokong BN.
Di samping itu, dua calon PRK Pelangai iaitu Datuk Amizar Abu Adam (BN) dan Kasim Samat (PN) secara kebetulan masing-masing merupakan generasi Felda, sudah tentu pertembungan mereka memberi saingan sengit sesama mereka bagi merebut undi peneroka.
Sama ada Amizar atau Kasim menjadi pilihan warga Felda, jawapannya akan terjawab pada segala-galanya bakal terjawab pada malam 7 Oktober ini.
Hal ini kerana terdapat peneroka masih tunggu dan lihat sebelum mengundi calon dan parti mampu memenuhi aspirasi dan menyelesaikan beberapa masalah tertunggak peneroka yang belum diselesaikan selama ini. – UTUSAN










