KUANTAN: Kerajaan perlu mengawal selia pihak-pihak yang menjadi orang tengah atau pentadbir pihak ketiga dalam urusan penjagaan kesihatan untuk pekerja-pekerja sektor swasta demi menjaga keselamatan dan kualiti penjagaan pesakit.
Ketika ini terdapat kira-kira 30 organisasi yang terlibat dalam perniagaan penjagaan kesihatan yang juga dikenali sebagai organisasi penjagaan terurus (MCO) dan pentadbir pihak ketiga (TPA).
Antara contoh MCO/TPA adalah PMCare, Health Connect dan MediExpress.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abd. Razak mendakwa, model perniagaan tersebut ketika ini ada yang dilihat melanggar beberapa peraturan dan undang-undang berkaitan.
“Ini termasuk melanggar Akta Perkhidmatan dan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) 1998 dan Peraturan (2006).
“Selain itu ada juga dilihat melanggar kod kelakuan profesonal Majlis Perubatan Malaysia (MMC) serta garis panduan amalan perubatan yang baik,” kata beliau.
TERMA
Beliau berkata, Perdim mendapati MCO/TPA melanggar peraturan dan undang-undang apabila mengenakan terma dan syarat peraturan kuasi (QR) secara unilateral tanpa berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan.
Beliau berkata, pihak pentadbir berkenaan juga melanggar undang-undang apabila menentukan klinik yang dilantik.
“Pihak MCO/TPA juga menggunakan QR dan sekali gus menentukan pemilihan ubat serta tempoh rawatan pada setiap lawatan pesakit sedangkan kuasa menentukan ubat dan tempoh rawatan sepatutnya ditentukan oleh pihak doktor,” katanya.
Menurutnya, Perdim juga mendapati bahawa MCO/TPA mengeluarkan QR yang menghendaki pesakit hanya berunding dengan doktor dan pengambilan ubat diarahkan ke farmasi-farmasi tertentu.
“Pihak MCO/TPA juga dikesan melanggar undang-undang apabila kadang kala menolak pembayaran untuk ubatan tertentu dan keputusan sering dibuat secara sebelah pihak,” katanya.
Boi Saidi berkata, Akta Perkhidmatan dan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) 1998 dilihat gagal untuk mengawal selia MCO dan TPA.
“Difahamkan, akta khusus berhubung MCO masih belum digubal dan kami dimaklumkan draf awal proses perundangan akta itu sudah dimulakan pada 1999 tetapi tidak ada perkembangan lanjut,” katanya.
Justeru, kata beliau, Perdim mencadangkan supaya dipercepatkan penggubalan akta MCO dan memastikan peraturan berkaitan dapat mengawal selia amalan penjagaan kesihatan oleh pihak pentadbir yang terlibat.
“Kementerian Kesihatan perlu diberi kuasa dari segi undang-undang untuk memeriksa semua kontrak TPA/MCO bersama pihak klinik swasta untuk memastikan pematuhan piawaian penjagaan kesihatan pekerja swasta di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










