PETALING JAYA: Silibus subjek matematik dan sains di peringkat sekolah rendah wajar dirombak semula selepas tempoh kitarannya selama enam tahun sudah mencapai ‘tahap matang’ sejak kali terakhir diolah pada 2017.
Dalam usaha merombak subjek sains dan matematik di peringkat sekolah rendah, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengamil kira rungutan ibu bapa, guru dan murid yang menyifatkan silibus kedua-dua mata pelajaran tersebut terlalu sukar.
Kesannya mengakibatkan peratusan pelajar yang mengikuti aliran sains tulen di sekolah menengah merosot saban tahun.
Berdasarkan rekod hanya 15.2 peratus atau 62,250 daripada kira-kira 415,000 pelajar tingkatan tiga di seluruh negara memilih aliran sains tulen apabila ke tingkatan empat bagi sesi 2023/2024.
Jumlah itu menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan negara yang mahu melahirkan bakat bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) tempatan bagi mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta persediaan menjadi negara maju.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, dua faktor perlu diambil kira oleh KPM dalam memperkenalkan silibus baharu untuk khususnya subjek sains dan matematik iaitu mengurangkan kepadatannya dan menjadikannya lebih menarik dengan aktiviti menyeronokkan.
Menurutnya, rombakan itu perlu mengambil kira isu semasa iaitu kemerosotan minat pelajar terhadap subjek sains dan matematik yang sehingga kini berada di tahap yang amat membimbangkan.
Katanya, banyak kajian dilakukan berhubung kemerosotan minat pelajar terhadap kedua-dua subjek tersebut dan keputusannya memberi dua rumusan hampir sama iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) lemah sejak di peringkat sekolah rendah dan tahap kepakaran guru pengajar yang tidak berkemahiran tinggi.
“Antara faktor yang perlu diambil kira berkaitan dengan subjek sains dan matematik adalah menjadikannya lebih menarik untuk pembelajaran murid-murid dengan aktiviti menyeronokkan dan meningkatkan kemahiran pengajaran guru-guru khususnya terhadap dua mata pelajaran berkenaan.
“Pada masa sama, saya berpandangan bahawa KPM mungkin boleh mengurangkan sedikit silibus dalam subjek matematik khususnya supaya tidak terlalu padat, sebagai contoh jika sebelum ini ada 10 topik mungkin dalam silibus akan datang dikurangkan kepada tujuh tetapi merangkumi topik penting,” katanya.
Anuar yang juga Pensyarah di Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini membangkitkan isu kemasukan pelajar jurusan sains pada tahun 2012 peratus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah 24 peratus, namun, merosot pada 19 peratus pada 2018 dan ‘menjunam’ lagi ke 15.2 peratus pada tahun ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, isu tahap kemahiran 3M pelajar di sekolah rendah saling berkaitan kerana apabila gagal menguasai subjek sains dan matematik, golongan tersebut akan menjauhi aliran sains ketika berada di sekolah menengah.
“Isu peratusan kemasukan pelajar mengikutan aliran sains dan matematik ini perlu ditangani dengan kadar segera kerana masalah tidak akan berlaku sekarang sebaliknya dalam jangka masa 10 ke 15 tahun akan datang apabila negara akan mengalami kekurangan tenaga mahir dalam bidang tersebut.
“Apabila tenaga mahir yang dikeluarkan tidak mencukupi, industri tiada pilihan lain, maka, mereka akan mengimport tenaga mahir asing untuk mengisi jawatan kerana ketidakmampuan kita menyediakan tenaga mahir tempatan secukupnya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pihaknya melihat adanya keperluan untuk KPM merombak semula silibus subjek sains dan matematik di sekolah rendah kerana kandungannya tidak bersesuaian dan dikhuatiri ‘mematikan’ minat pelajar terhadap mata pelajaran berkenaan.

Katanya, perkara itu turut menjadi rungutan ibu bapa dan guru kerana kandungan silibus tidak bersesuaian dengan tahap pemikiran pelajar.
“Rombakan perlu dibuat segera kerana jika semakin dibiarkan, semakin ramai pelajar akan terlibat (kemerosotan minat). Dulu kita hendak Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) tetapi apa yang kita nampak kandungannya yang susah sedangkan KBAT adalah cara berfikiran kreatif.
“Kandungan yang ditampilkan tidak relevan dengan tahap pemikiran pelajar kita. Kita khuatir jika ini berterusan, pelajar akan terus hilang minat terhadap subjek tersebut,” katanya.
Pandangan sama turut diberikan Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan yang berpendapat bahawa subjek sains dan matematik di peringkat sekolah rendah tidak boleh dilakukan secara berasingan.
Katanya, subjek matematik dan sains pada tahap satu perlu lebih menarik supaya pelajar lebih berminat untuk mempelajarinya.
“Subjek tersebut perlu diperbanyakkan aktiviti atau mengaplikasikan teorinya berbanding hanya belajar teori sahaja, namun, ia perlu disokong dengan prasarana baik daripada pihak kerajaan.
“Jika nak selesaikan masalah ini, KPM perlu selesaikan asasnya terlebih dahulu. Jika ia berjaya dikuasai sudah tiada masalah apabila pelajar ini masuk ke sekolah menengah,” katanya. – UTUSAN










