PETALING JAYA: Hasrat mencapai kesaksamaan gender di negara ini masih perlahan ekoran diskriminasi jantina di tempat kerja masih berlaku.
Berdasarkan tinjauan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) terhadap 1,010 responden wanita pada 2020, sebanyak 56 peratus wanita negara ini pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk diskriminasi di tempat kerja.

Tinjauan ‘Suara Wanita Malaysia Mengenai Diskriminasi dan Gangguan di Tempat Kerja’ itu juga menunjukkan 47 peratus wanita ditanya tentang status perkahwinan semasa ditemu duga .
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Perhubungan Komuniti WAO, Amiera Norazizan berkata, walaupun industri sudah jauh maju, diskriminasi terhadap wanita terus berlaku menyebabkan jaminan kesamarataan belum dicapai termasuk mendapatkan peluang pekerjaan sama rata.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan Malaysia berdepan cabaran mendapatkan perwakilan wanita yang lebih ramai di parlimen, menangani jurang gaji jantina dan menggalakkan lebih ramai wanita dalam penyertaan ekonomi.
KESIHATAN
“Ia turut membawa cabaran bagi meningkatkan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk wanita, memerangi keganasan terhadap wanita dan memastikan keselamatan golongan itu,” katanya.
Amiera berkata, majikan boleh mewujudkan persekitaran kerja kondusif bagi wanita dengan aktif mempromosikan kepelbagaian dan keterangkuman dalam organisasi mereka.
Katanya, dengan memperbanyak program yang memfokuskan kesaksamaan gender di dalam organisasi akan mencipta lebih banyak peluang untuk memperkasa wanita di tempat kerja di samping memberi peluang kepada golongan itu yang sudah lama tidak bekerja untuk menyertai semula alam kerjaya.
Beliau berkata, ini termasuk bukan sahaja mengambil lebih ramai wanita tetapi memastikan mereka berpeluang sama rata untuk kemajuan kerjaya dan peranan kepimpinan.
Katanya, usaha menjamin kesamarataan gender juga boleh dibuat dengan merapatkan jurang gaji jantina dengan melaksanakan dasar yang memastikan gaji sama untuk kerja yang sama.
“Langkah menyemak dan mengaudit amalan pampasan untuk mengenal pasti dan membetulkan perbezaan juga boleh diambil bagi memastikan golongan wanita duduk sama tinggi dengan lelaki.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun pindaan Akta Pekerjaan 1995 yang melindungi wanita hamil daripada pemberhentian menyalahi undang-undang telah diluluskan pada 2022, akta tersebut hanya dikuatkuasakan sepenuhnya pada Januari tahun ini. – UTUSAN










