PETALING JAYA: Semangat kemerdekaan terbukti menjadi elemen menyatupadukan penduduk negara ini apabila sambutan Hari Kebangsaan 2023 semalam memperlihatkan penyatuan rakyat Malaysia apabila bersama-sama meraikannya penuh meriah dalam semangat luar biasa.
Sambutan bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, mendapat sambutan di seluruh negara dengan rakyat pelbagai peringkat tanpa mengira kaum dan agama keluar meraikannya.
Mereka langsung tidak diganggu-gugat dengan persengketaan dan perbalahan politik terutama pasca pilihan raya di enam negeri dan menjelang pilihan raya kecil di Johor dan Pahang.
Sambutan kemerdekaan kali ini merupakan yang pertama di bawah Kerajaan Perpaduan yang mengambil-alih pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Di Putrajaya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengetuai sambutan hari bersejarah tersebut yang dihadiri lebih 100,000 pengunjung di Dataran Putrajaya.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, semangat luar biasa itu diterjemahkan rakyat pelbagai usia, bangsa, agama dan latar belakang demi meraikan kemerdekaan negara.
“Kepada semua rakyat, sama-sama kita raikan Hari Kebangsaan ini, betapa pentingnya hidup rukun, aman damai bersatu padu dalam sebuah negara tercinta Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas sambutan Hari Kebangsaan 2023, di sini, semalam.
Acara perbarisan dan perarakan yang menjadi tarikan utama sambutan di Putrajaya dijayakan oleh 17,262 peserta melibatkan 67 kontinjen.
Ia melibatkan komponen kenegaraan, perpaduan Malaysia Madani, ekonomi, perbankan, telekomunikasi, industri kreatif dan penyiaran, sukan, kesejahteraan serta keselamatan.
Turut dipertontonkan 534 aset kenderaan taktikal pelbagai guna serta aset haiwan 100 ekor.
Di Perlis, pertunjukan 350 dron bercahaya yang membentuk pelbagai formasi di akhir perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri ‘memukau’ lebih 25,000 pengunjung Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Sebanyak 57 kontinjen membabitkan 2,339 peserta terlibat dalam program itu membabitkan jabatan kerajaan, pasukan beruniform, agensi swasta, pertubuhan, komuniti dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Di Kedah, meskipun hujan, lebih 20,000 pengunjung tidak berganjak menyaksikan perbarisan Hari Kebangsaan di Dataran Medan Bandar, Alor Setar.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor antara yang memeriahkan sambutan itu.
Di Pahang, ruang udara bandar Kuantan digamatkan dengan pertunjukan tujuh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Ia melibatkan tiga pesawat tempur Tentera Udara Duraja Malaysia (TUDM) Sukhoi Su-30MKM dan empat BAE Hawk.
Turut Berangkat pada acara perbarisan dan perarakan sambutan, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Di Johor, lebih 5,000 memeriahkan Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Simpang Renggam, Kluang.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerima lintas hormat perarakan yang didahului oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Di Ipoh, Perak, penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri di pekarangan Stadium Perak di sini hari ini, berjalan seperti dirancang meskipun hujan lebat dan angin kencang, kelmarin.
Sambutan diketuai Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang berkenan menyertai kerabat dan kenamaan serta lebih 25,000 rakyat meraikannya.
Di Melaka, sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri berlangsung meriah dan mencipta keunikan tersendiri apabila menyaksikan kehadiran lebih 50,000 pengunjung.
Di Seremban, lebih 20,000 menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Di Terengganu, seramai 3,949 peserta daripada 109 kontinjen terlibat dalam perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Shahbandar.
Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan turut berkenan berangkat menyaksikan perarakan kontinjen dan lintas ‘Hormat Diraja’ serta persembahan yang lain. – UTUSAN










