Kutip RM2b jika sawit dikenakan cukai khas

Kutip RM2b jika sawit dikenakan cukai khas

CUKAI khas sawit boleh dianggap sebagai satu tanggungjawab sosial korporat pemain industri itu kepada rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan mampu mengutip RM2 bilion setahun jika memperkenalkan cukai khas RM100 bagi setiap satu tan metrik minyak sawit mentah kepada semua pengeluar tempatan bahan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, Malaysia mengeluarkan kira-kira 20 juta metrik tan minyak setahun dengan subsidi ditanggung kerajaan untuk mi­nyak masak peket RM4 bilion setahun.

Menurut beliau, kutipan RM2 bilion setahun itu mampu mengurangkan pemberian subsidi kerajaan untuk minyak masak peket serta dapat menampung pemberian subsidi bahan itu tanpa mengira miskin atau kaya.

BUDI

“Cukai khas ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap semua pemain mi­nyak sawit negara dan juga me­ngenang budi semua rakyat yang merupakan pengguna produk minyak kelapa sawit sejak sekian lamanya.

“YPNM percaya jika mi­nyak masak bersubsidi diberikan kepada semua golongan masyarakat, ia akan mengekang sebarang kenaikan harga makanan oleh pengusaha gerai makanan, goreng pisang, kuih-muih, keropok mahupun restoran.

“Melalui cara ini, tidak perlu lagi kerajaan memikirkan untuk memperkenalkan subsidi bersasar minyak masak kerana ia pendekatan terbaik supaya tidak ada mana-mana pihak yang tercicir menikmatinya,” katanya di sini semalam.

Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur kekal lemah untuk sebahagian besar suku ketiga tahun ini, berlegari antara RM3,800 hingga RM4,000.

Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, industri penanaman kelapa sawit negara perlu melaksanakan CSR kepada semua rakyat.

KIMIA

Ini kerana katanya, penanaman kelapa sawit yang begitu luas telah menjejaskan flora dan fauna serta alam sekitar sejurus penggunaan pelbagai bahan kimia dan baja dalam industri tanaman tersebut.

Selain itu beliau berkata, penanaman kelapa sawit merosakkan sumber air, daripada longkang ke parit terus ke sungai serta turut menjejaskan kualiti air dan mengurangkan ikan air tawar di sungai-sungai.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma), Datuk Zamri Mohamed yang merupakan salah sebuah syarikat pengeluar minyak mentah tempatan berkata, dalam keadaan harga minyak sawit yang tidak menentu ketika ini, cukai khas itu tidak sesuai dilaksanakan.

“Jika harga melebihi kadar tertentu seperti tahun lalu yang sungguh luar biasa, cukai khas tersebut boleh dilaksanakan. Tapi sekarang harga sudah turun ke paras biasa.

“Industri sawit perlu dibantu lagi memandangkan soal bekalan tenaga buruh baru sahaja stabil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN