PUTRAJAYA: Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) masih mengesan dan memantau 118 projek lewat dan dikategorikan sakit di negara ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, ia melibatkan 13,039 unit rumah, 490 projek sakit (79,278 unit rumah) dan 114 projek terbengkalai 24,262 unit rumah).
Katanya, sebanyak 222 projek perumahan swasta berjaya dipulihkan sejak Januari hingga 31 Julai lalu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM20.61 bilion.
Katanya, kesemua projek perumahan itu membabitkan keseluruhan 24,422 unit rumah.
Jelas beliau, kesemua projek perumahan tersebut telah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan kini bertukar ke status lancar.
“Sepanjang Julai sahaja, sebanyak 44 projek (3,496 unit) berjaya dipulihkan membabitkan GDV sebanyak RM3.14 bilion,” katanya di sini, semalam.
Katanya, sepanjang Ogos lalu, TFST mengambil tindakan penyelesaian berstrategik dan berfokus ke arah mengenal pasti tindakan mencegah untuk jangka pendek dan jangka panjang.
Dalam pada tu, beliau berkata, tidak patuh kepada penetapan Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) dikenal pasti antara punca projek perumahan swasta bermasalah di negara ini.
Katanya, pihaknya mendapati, ada pemaju perumahan meletakkan banyak projek perumahan dalam satu akaun HDA.
Beliau berkata, pihaknya menetapkan bahawa pemaju perumahan swasta diwajibkan untuk membuka HDA di institusi perbankan bagi satu projek perumahan sahaja.
“Tujuan akaun ini adalah sebagai simpanan deposit bagi pemaju mendapatkan lesen pemajuan dan pinjaman kewangan untuk pembinaan selain memudahkan pemantauan kesiapan oleh KPKT.
“Masalah timbul apabila satu projek perumahan bermasalah dan ia akan berjangkit kepada projek lain yang berada dalam satu HDA yang sama,” katanya.
Katanya, pihaknya kini sedang melakukan libat urus dengan institusi perbankan bagi memastikan prosedur pengurusan HDA ini difahami dengan jelas dan dikendalikan lebih telus.
Akmal berkata, sebelum ini, pihaknya mendapati tiada pemantauan, penyelarasan dan prosedur pengurusan HDA yang jelas antara kerajaan, institusi kewangan dan pemaju perumahan yang kemudiannya menyumbang kepada projek perumahan bermasalah.
Menurutnya, pihaknya telah pun mengemukakan 12 isu berkait pengurusan HDA menerusi libat urus bersama Bank Negara Malaysia (BNM), tiga persatuan bank dan 13 institusi kewangan dan perbankan baru-baru ini. – UTUSAN