JOHOR BAHRU: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi memberi kesan positif terhadap kempen Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
Calon PN Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar berkata, perkembangan terbaharu itu akan membuka mata rakyat termasuk pengundi tentang kesan pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perkara itu akan mempengaruhi pola pemikiran pengundi semasa tempoh kempen berbaki kurang seminggu.
“Saya tidak kehilangan modal berkempen kerana saya tidak pernah mempermainkan isu berkenaan. Sebaliknya, isu tersebut akan pengaruhi pengundi kerana rakyat pandai menilai.
“Kadang-kadang kita bercakap banyak tetapi tak jalan sebab orang boleh fikir sendiri, mereka tahu untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Tetapi secara logiknya keputusan mahkamah itu membantu kempen saya,” katanya selepas melakukan ‘walkabout’ di Jalan Dataran 4, Taman Kempas, di sini.
Zulkifli yang juga seorang ahli perniagaan berkata, kempennya lebih tertumpu tentang perancangan yang hendak dibawakan ke kawasan Parlimen Pulai.
“Sebab itu dalam kempen saya tidak gunakan benda-benda negatif sedemikian, sebaliknya lebih fokus kepada diri saya sahaja. Apa yang telah saya lakukan dan apa yang akan saya buat sekiranya diberi mandat,” katanya.
Hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Zulkifli enggan memberi sebarang komen tentang kenyataan haram undi Suhaizan Kayat yang dibuat oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.
“Itu saya tiada komen, saya sendiri tidak perasan dia bercakap sedemikian semasa ceramah, jadi saya tidak mahu komen berhubung isu berkenaan. Namun begitu perkara tersebut tidak jejaskan perjalanan kempen saya.
“Semasa bertemu dengan masyarakat, tiada mana-mana pihak yang bertanyakan hal itu, wartawan yang pertama tanya soalan ini,” katanya sambil berseloroh.
Zulkifli turut memberitahu, jenteranya telah melengkapkan pusingan pertama kempen dan akan terus memasuki pusingan kedua bermula hari ini.
“Secara keseluruhan perjalanan kempen sangat baik, kita akan teruskan dalam pusingan kedua ini untuk bertemu dengan lebih ramai pengundi di Parlimen ini. Mungkin ada yang belum dapat kita santuni,” katanya. – UTUSAN