JEMPOL: Sebuah kedai alat ganti kenderaan di Taman Sornam, Bahau musnah dalam kejadian kebakaran tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farid Mohd. Desa berkata, pihaknya segera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kira-kira pukul 12.12 tengah malam.
Menurutnya, sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan sebuah kedai berkeluasan 30×40 kaki persegi.
“Kemusnahan tingkat satu dianggarkan sebanyak 70 peratus manakala, tingkat dua pula dianggarkan musnah sekitar 50 peratus.
“Dalam kejadian ini, kami turut mendapat bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Bandar Seri Jempol, BBP Kuala Pilah dan Seremban bagi memadamkan kebakaran,” katanya hari ini.
Jelas Mohd. Farid lagi, punca kebakaran dan jumlah kerugian bagaimanapun masih dalam siasatan.-UTUSAN.










