Kastam rampas syabu bernilai RM1.7j disorok dalam gelung getah - Utusan Malaysia

Kastam rampas syabu bernilai RM1.7j disorok dalam gelung getah

RIBUAN Abdullah (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disorokkan dalam gelung getah berwarna kuning yang telah disimpan dicelah-celah paip dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa melibatkan rampasan dadah jenis Methamphetamine bernilai RM1.7 juta di sebuah gudang di Pelabuhan Klang, Selangor pada 4 September lalu.

Penolong Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari itu, sepasukan anggota Kastam daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menyita enam buah kotak di sebuah gudang di Pelabuhan Klang.

“Modus operandi sindiket ini bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan menyorokkan sebanyak 338 bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah dalam 72 gelung getah berwarna kuning yang telah disimpan di celah-celah paip dalam satu gelung paip (terdapat empat bungkusan) dengan panjang satu gelung paip bersaiz 50 meter.

“Dagangan ini diikrarkan sebagai paip getah tekanan tinggi. Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh, rampasan ini telah berjaya dibanteras daripada diedarkan kepada 256,800 orang penagih dadah,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar kes tersebut di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati dagangan tersebut akan dieksport ke Australia menggunakan laluan laut.

“Hasil risikan mendapati pengeksport menggunakan maklumat syarikat palsu di dalam dokumen eksport yang menyukarkan tangkapan dibuat ke atas suspek.

“Ini juga merupakan pertama kali pihak Kastam menjumpai di dalam gelung paip. Siasatan masih berjalan untuk mengesan suspek dibawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jelas Ribuan lagi, berdasarkan rekod setakat ini, sebanyak 17 kali cubaan seludup dadah pelbagai jenis telah dilakukan ke Australia.

“Ada cubaan menggunakan pos, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan melalui Pelabuhan Klang,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya