MACHANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita 422 buah kenderaan yang digunakan oleh warga asing di negeri ini bermula 1 September hingga semalam.
Sitaan kenderaan dilakukan JPJ menerusi Operasi Khas Motosikal yang dilaksanakan di seluruh negeri dalam usaha membendung salah laku jalan raya oleh warga asing.
Timbalan Pengarahnya Nazili Kadir berkata, kebanyakkan kenderaan yang disita itu digunakan oleh etnik Rohingya dengan menyaksikan motosikal menjadi penyumbang tertinggi.
“JPJ Kelantan ambil serius perkara ini walaupun situasinya masih lagi terkawal. Warga asing yang memandu kenderaan tanpa lesen sah, sekiranya terlibat dengan kemalangan akan menyukarkan proses tuntutan insuran.
“Bila memandu tanpa lesen sah, mereka (warga asing) tidak mempunyai kemahiran serta kecekapan. Situasi itu akan membahayakan pengguna jalan raya lain selain gagal memahami aturan jalan raya,” katanya kepada pemberita semasa ditemui semasa sidang media Operasi Khas Motosikal JPJ Kelantan di Stesen Timbang JPJ Machang, Labok di sini malam tadi.
Nazili memberitahu, antara kesalahan yang dikesan dilakukan oleh pemandu warga asing ialah tidak memiliki lesen memandu yang sah, tiada cukai jalan, kenderaan tidak ada perlindungan insurans dan salah guna lesen kenderaan motor.
Katanya, JPJ mengingatkan orang ramai supaya tidak bersekongkol dengan memberi sewa kepada warga asing dengan tujuan mengaut keuntungan lebih.
“Tindakan itu menyebabkan pemilik asal kenderaan boleh dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.
“Kita sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan aktiviti ini,” ujarnya.
Nazili berkata, sepanjang operasi itu sebanyak 14,163 kenderaan telah diperiksa oleh JPJ Kelantan.
Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 5,015 keping saman telah dikeluarkan individu yang didapati melakukan kesalahan.-UTUSAN










