Inisiatif MOSTI kurangkan kebimbangan bakat STEM

Inisiatif MOSTI kurangkan kebimbangan bakat STEM

AMINUDDIN HASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menyusun pelbagai inisiatif secara holistik sekali gus mampu mengurangkan kebimbangan terhadap masa depan negara dalam melahirkan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi mendepani Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

Ia melibatkan penyertaan pelbagai kementerian seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan agensi demi mengukuhkan ekosistem dan pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) melalui pemerkasaan, pembangunan, penggunaan teknologi, dan inovasi tempatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, pihaknya melalui pelbagai agensi di bawahnya giat melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan minat murid sekolah terhadap STI melalui pelaksanaan program jangkau luar ke sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Secara tahunan MOSTI turut memperuntukkan sebanyak RM150,000 dan disalurkan kepada sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara bagi membiayai program-program pembudayaan sains mengikut syarat-syarat dan tatacara ditetapkan.

“Selari dengan usaha ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’, kementerian ini giat menjalankan pelbagai aktiviti dan program bersifat pendidikan bukan formal bertujuan menggalakkan penglibatan orang awam khususnya murid-murid sekolah dalam bidang STI,”” katanya di sini semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan hanya 15.2 peratus atau 62,250 daripada kira-kira 415,000 pelajar Tingkatan Tiga di seluruh negara memilih aliran sains ketika menjejakkan kaki ke Tingkatan Empat bagi sesi 2023/2024.

Jumlah itu menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan negara yang mahu melahirkan bakat bidang STEM tempatan bagi mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Menurut Aminuddin, Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021- 2030 dan Rangka Kerja 10-10 MySTIE digariskan MOSTI bagi memperkukuhkan hasrat itu.

Katanya, beberapa program MOSTI lain yang melibatkan golongan pelajar sekolah, antaranya Minggu Sains Negara, Malaysia Techlympics, Cabaran Sains Kebangsaan, Cabaran Dron, Cabaran Rekacipta Kebangsaan, Kejohanan Roket Kebangsaan, Cabaran Jet Kawalan Jauh (RC Jet) Kebangsaan, Cabaran Angkasa Kebangsaan, Ruang Daya Cipta (RDC).

Selain itu, MOSTI menganjurkan Minggu Sains Negara secara tahunan bermula 2018 bertujuan mewujudkan kesedaran, menanamkan minat dan membudayakan STI terhadap semua lapisan masyarakat khususnya murid-murid sekolah.

“Malaysia Techlympics pula adalah inisiatif terkini MOSTI yang dirangka bagi merangsang minat belia merangkumi murid sekolah rendah dan menengah terhadap bidang STEM secara pembelajaran tidak formal berkonsepkan pertandingan.

“Program ini juga sebagai langkah siap siaga golongan murid sekolah dan belia untuk memainkan peranan sebagai pelengkap kepada agenda STEM negara dan seterusnya memacu IR 4.0,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan, Pusat Sains Negara pula mempunyai kepakaran khusus dalam menyediakan pembelajaran secara informal kepada golongan murid sekolah menerusi galeri pameran sains interaktif, pertandingan STEM, program sekolah dan program khas seperti PSN SciFest dan School Out Kids In (SOKI).

Manakala, Planetarium Negara menawarkan program Mars Challenge, National Space Challenge dan Space Insight melibatkan pelajar dan belia.

“Di samping itu, Yayasan Inovasi Malaysia turut menyelaras dan mengawal selia Ruang Daya Cipta (Maker Space) yang dibina di kawasan keperluan khas untuk merancakkan idea-idea inovasi.

“MOSTI juga menyusun program jangkau luar di seluruh negara bagi mendekati sekolah-sekolah di luar bandar dan kawasan pedalaman menerusi program Science on Wheel PSN, Kembara Sains Borneo dan Kimia ke Desa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN