Inflasi turun, OPR patut turun

Inflasi turun, OPR patut turun

BNM akan mengadakan mesyuarat dasar monetari pertamanya bagi 2024 pada 24 Januari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalam (OPR) disyor diturunkan daripada 3.0 peratus kepada 2.75 peratus selaras dengan penurunan kadar inflasi negara sejak Julai lalu bagi membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Tindakan menurunkan OPR tersebut dilihat suatu langkah terbaik untuk meningkatkan kadar pinjaman modal kerja pengusaha syarikat domestik untuk mengembangkan perniagaan serta berupaya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berpendapat, tiada alasan untuk Bank Negara Malaysia (BNM) menaik­kan OPR namun kadarnya itu boleh dikekalkan tetapi sebaik­nya diturunkan.

JANGGAL

Beliau berkata, ekonomi negara sedang dalam pemulihan walaupun terdapat senario politik yang disifatkannya sebagai ‘agak janggal’ sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, pemulihan dan perkembangan ekonomi negara itu seharusnya disokong dengan penurunan kadar OPR bagi membantu mempercepatkan tempoh pemulihannya.

“Saya tidak nampak alasan untuk OPR dinaikkan hanya di­sebabkan beberapa barang yang dijangka naik seperti beras. Ia (kenaikan OPR) tidak patut. Secara keseluruhannya kadar inflasi negara sudah turut sehingga 2.4 peratus jadi OPR juga boleh dikekalkan dan sebaik-baiknya diturunkan.

“Apabila OPR diturunkan, saya melihat pengusaha syarikat di negara akan mendapat akses modal kerja bagi mengembangkan perniagaan dengan meningkatkan pinjaman di bank-bank. Ia akan membantu meningkatkan ekonomi negara.

“Pengusaha syarikat akan melihat penurunan kadar OPR ini sebagai suatu peluang untuk mereka mengembangkan perniagaan sebagai contoh menambah cawangan dan sebagainya ia secara tidak langsung membantu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

IMPAK

Beliau berkata, peluang sama juga akan diambil oleh pelabur luar apabila melihatkan OPR diturunkan iaitu meningkatkan pelaburan dengan membuat pinjaman melalui bank-bank tempatan yang memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Terbaharu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Malaysia berada dalam kedudukan yang baik dengan keadaan ekonomi global dan kadar inflasi negara mereda kepada dua peratus berbanding kebanyakan negara lain.

Sementara itu, Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Datuk Dr. Madeline Berma berkata, keputusan sama ada menaik atau menurunkan OPR oleh bank pusat berkenaan berkait dengan pengurusan keadaan inflasi semasa.

Menurutnya, jika OPR dijangka diturunkan kerana mengambil kira inflasi negara pada masa kini yang stabil maka para peminjam dapat menerima manfaat tersebut disebabkan bayaran yang dikenakan terhadap faedah adalah rendah.

“Ini akan memudahkan pe­minjam untuk tidak terbeban jika mereka ingin melakukan pinjaman terhadap pembelian aset seperti kereta mahupun rumah idaman.

“Selain itu, OPR yang rendah sehingga membuatkan pengguna mampu berbelanja berlebihan bakal memberikan keuntungan yang lebih kepada peniaga, dalam masa yang sama harga barang juga turut naik,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN