Henti kenyataan pecah belah - Exco - Utusan Malaysia

Henti kenyataan pecah belah – Exco

Mohd. Fared Mohd. Khalid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Semua pihak termasuk kepimpinan parti politik diingatkan supaya sentiasa menjaga adab dan perpaduan sesama umat Islam dan seluruh masyarakat di negeri ini semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, sebarang kenyataan yang boleh mencetus kekeliruan dan memecah-belahkan keharmonian rakyat Johor perlu dihentikan.

Justeru, katanya, tiada mana-mana pihak sama ada peribadi atau mewakili organisasi berhak mengeluarkan sebarang hukum dalam urusan beragama.

“Fatwa merupakan jawapan hukum bagi pelbagai situasi yang berlaku sama ada situasi sedia ada atau situasi baharu. Sesuatu fatwa dinisbahkan atas persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan ketidaktentuan berhubung dengan hukum syarak.

“Di Johor, fatwa hanya boleh ditetap dan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa yang ditubuhkan menurut Fasal 

46 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

“Fatwa boleh dibuat dan diputuskan sama ada atas perintah Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) atau Jawatankuasa Fatwa atau mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada mufti. Kaedah dan pembuatan fatwa pula hendaklah mematuhi peruntukan Fasal 48 enakmen yang sama,” katanya.

Mohd. Fared menegaskan bahawa agama Islam di negeri ini kekal dimartabatkan dan diimarahkan pensyariatannya dengan pengembangan dakwah serta syiar Islam.

Sabtu lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata haram mengundi calon  Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat pada PRK ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN