PETALING JAYA: Isu kekurangan beras tempatan tiada kaitan dengan kartel sebaliknya ia berpunca daripada pengeluaran padi negara yang belum mencapai tahap sara diri (SSL).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, ketika ini, tahap SSL beras adalah 65 peratus mengakibatkan Malaysia masih bergantung kepada beras import dalam jumlah yang besar.
Menurut beliau, apabila India menyekat eksport beras putihnya, ia memberi kesan kepada Malaysia yang kini mengalami kekurangan bekalan beras sehingga beras tempatan menjadi rebutan semua pihak.
KARTEL
“Dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Md Nor bahawa masalah bekalan beras yang tidak mencukupi ketika ini dikaitkan kartel beras adalah tidak betul,’’ katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat kegiatan kartel padi yang telah lama wujud dalam industri padi negara menyebabkan hasil padi dan pendapatan pesawah tidak meningkat seiring dengan peningkatan teknologi.
Mahfuz berkata, tidak ada sebab pesawah mahu menjual padi kepada kartel kerana harga lantai padi ketika ini adalah tinggi iaitu antara RM1,800 hingga RM1,700 per tan berbanding RM1,200 dahulu.
MERUNCING
“Bagaimanapun, kilang yang menerima padi daripada pesawah untuk diproses menjadi beras masih tidak mampu menyediakan jumlah yang diperlukan rakyat. Keadaan tersebut meruncing apabila tiada lagi kemasukan beras putih dari India,” kata beliau.
Katanya, kerajaan menyedari masalah itu dan sedang berusaha untuk melonjakkan pengeluaran padi untuk masa hadapan dengan pelbagai kaedah antaranya yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan menjadikan kaedah penanaman padi di Sekinchan sebagai contoh ke negeri lain.
“Saya percaya bahawa sekiranya penanaman padi dibuat dengan penggunaan baja yang baik seperti di Sekinchan, sama ada kawasan jelapang atau di luar jelapang akan meningkatkan hasil penanaman padi.
“Bagi mencukupkan tahap SSL seharusnya pengeluaran padi dilonjakkan sekurang-kurangnya tujuh ke lapan tan untuk satu hektar sawah,” kata beliau.
Tambahnya, harga beras di seluruh dunia seperti negara India dan Vietnam meningkat dengan agak tinggi namun Malaysia masih mengekalkan harga RM2.60 sen per kilogram bagi beras tempatan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR), Abdul Ali bin Fiddik berkata, tidak ada pihak yang mahu menyorokkan beras tempatan kerana keuntungan menjual beras tidak tinggi.
Katanya, apa yang berlaku ialah peruncit memang mendapat bekalan yang tidak banyak daripada pengedar dan diburukkan pula dengan pembelian panik dalam kalangan orang ramai.
Menurut beliau, jika sebelum ini pengedar beras boleh menghantar 100 paket beras tempatan tetapi kali ini mereka hanya mendapat dalam lingkungan 20 hingga 30 paket beras sahaja untuk dijual.
“Bila isu beras tular di media, kebanyakan pengguna akan membeli beras dengan kuantiti yang banyak sehingga kehabisan stok,” katanya.
Abdul Ali berkata, masalah rantaian pengedaran beras juga semakin pulih dan beliau yakin harga serta bekalan beras akan kembali seperti biasa pada bulan hadapan. – UTUSAN










