PETALING JAYA: Hanya 15.2 peratus atau 62,250 daripada kira-kira 415,000 pelajar Tingkatan Tiga di seluruh negara memilih aliran sains ketika menjejakkan kaki ke Tingkatan Empat bagi sesi 2023/2024.
Jumlah itu menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan negara yang mahu melahirkan bakat bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) tempatan bagi mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Bagi mengatasi masalah tersebut, semua pihak terutama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi perlu mencari punca kepada trend kemerosotan pelajar memilih aliran sains.
Sebagai contoh mungkinkah kurikulum atau teknik pengajaran di sekolah tidak bagus dan semak semula infrastruktur terutama sekolah-sekolah di luar bandar yang mungkin membantutkan semangat pelajar untuk mendalami bidang sains.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi dan Pengasas Persatuan STEM Kebangsaan, Professor Datuk Dr. Noraini Idris berkata, lulusan STEM berkurangan selepas kemasukan pelajar yang memilih jurusan sains dan teknologi merosot di peringkat sekolah sejak tahun 2015.
Menurut beliau, trend itu akan memberi kesan kepada jumlah tenaga saintis dan jurutera tempatan yang diperlukan bagi menghadapi cabaran IR 4.0 susulan bekalan pelajar STEM yang menurun.
“Kemasukan pelajar jurusan sains pada tahun 2018 sekitar 19 peratus dan kini 2023 (15.2 peratus) jatuh lagi. Jadi, apabila bilangan pelajar ambil bidang sains di Tingkatan Empat berkurang, maka penyertaan ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) turut berkurangan.
PAKAR
“Ini menyebabkan Malaysia kekurangan pakar tempatan sama ada pakar kejuruteraan, teknologi kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan perisian mahupun teknologi maklumat (IT),” kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Kurup dilaporkan berkata, kajian Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) mengesan empat faktor utama enrolmen rendah dalam aliran sains.
Antara faktornya ialah pelajar lebih cenderung terhadap bidang bukan berteraskan sains; mata pelajaran itu sukar difahami dan dikuasai serta pelajar tidak berminat dengan bidang sains di peringkat sekolah.
Mengulas lanjut, Dr. Noraini yang juga Penasihat Pusat STEM Universiti Malaya berkata, semua kementerian perlu bekerjasama bagi menangani isu berkaitan kekurangan penyertaan pelajar dalam bidang sains.
Menurut beliau, langkah itu perlu supaya Malaysia dapat menghadapi cabaran IR 4.0 tanpa mengharapkan bakat luar semata-mata.
“Kalau tidak, kita tidak ada bekalan atau tenaga kerja untuk terlibat dalam pekerjaan yang menggunakan teknologi terkini.
AUTOMOTIF
“Misalnya, ketika ini, syarikat automotif tempatan terpaksa bekerjasama dengan China kerana republik itu sangat maju dalam teknologi.
“Jadi jika Malaysia tiada bekalan, maka kita terpaksa mengambil pakar-pakar luar dalam sains dan teknologi untuk menggerakkan (industri) automobil,” katanya.
Kata beliau, pelbagai faktor perlu dikaji mengapa pelajar terutamanya di peringkat sekolah lebih cenderung untuk tidak memilih bidang sains dan teknologi.
“Oleh sebab itu, Kementerian Pendidikan misalnya perlu lihat semula..kurikulumnya atau teknik pengajarannya okay ke tidak. Kementerian Pendidikan Tinggi juga boleh lihat adakah teknik pengajaran di universiti yang terkini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, semua pihak tidak perlu menuding jari dan mempersalahkan pilihan pelajar yang memilih bidang bukan sains.
Katanya, infrastruktur yang masih kurang memuaskan terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar harus diambil kira dan mungkin boleh menjadi punca mematikan minat pelajar.
“Selain itu, kita kena persoalkan cara penyampaian pembelajaran itu, termasuk keupayaan internet lemah dan makmal yang tidak lengkap di sekolah.
“Itu sebab semua kementerian yang berkaitan dengan perkara ini harus membincangkan perkara ini bersama-sama,” katanya. – UTUSAN










