Garis panduan konsert di IPT mungkin tak diluluskan - Khaled - Utusan Malaysia

Garis panduan konsert di IPT mungkin tak diluluskan – Khaled

MOHAMED KHALED NORDIN (tengah) bergambar bersama pengerusi dan pengarah kolej komunIti yang menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Johor di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi bayangan tidak akan meluluskan garis panduan aktiviti hiburan (konsert) di institusi pendidikan tinggi (IPT) yang tular baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan masih belum menerima penyerahan garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Tinggi.

“Perkara itu belum dibawa kepada saya dan saya tak tahu macam mana boleh tular. Kalau saya setuju maka ia diluluskan, tetapi kalau saya tak setuju dia (garis panduan) tak lulus. Saya sentiasa bercakap soal pemerkasaan mahasiswa, saya lebih cenderung mahasiswa itu tetapkan dan jaga (penganjuran konsert) supaya tak adalah garis panduan sebegitu. 

“Saya tunggu bila dia hantar, mungkin saya akan slash (potong) sahaja semua (garis panduan) begitu,” katanya selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Johor di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Mohd. Zahari Ismail.

Semalam, tular dalam media sosial garis panduan aktiviti hiburan (konsert) di IPT yang mengundang kritikan kerana didakwa mengekang hak dan autonomi mahasiswa untuk menganjurkan acara hiburan.

Garis panduan itu turut didakwa memperkenalkan kod pakaian, yang melarang pakaian memaparkan logo Illuminati, lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dan simbol-simbol lucah serta rambut punk.

Artis juga dilarang memakai pakaian berbeza jantina, termasuk anting-anting, gelang dan seluar pendek selain penganjur perlu membuat semakan latar belakang artis bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam sebarang kontroversi.

Menurut garis panduan itu juga, tempat duduk lelaki dan wanita juga mesti dipisahkan termasuk kawasan khas untuk penonton yang datang dengan anggota keluarga malah ‘Mosh pits’, tempat orang ramai melompat dan berjoget yang biasa dilihat dalam konsert rock, dilarang sama sekali. 

Penganjur juga didakwa mesti memastikan lagu dipersembahkan tidak mengandungi lirik atau genre yang menyentuh isu-isu sensitif.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, beliau tidak akan tergesa-gesa untuk memeriksa garis panduan yang tular itu memandangkan ketika ini universiti sedang bercuti.

“Setakat, ini saya masih belum terima, saya nak kena tengok dulu. Tidak ada tempoh masa untuk menilai garis panduan itu, lagi pun sekarang ini tengah cuti, jadi tak ada konsert,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya