Enam janji Jeganathan untuk Simpang Jeram

Enam janji Jeganathan untuk Simpang Jeram

S. JEGANATHAN bertemu dengan orang ramai di sekitar Simpang Jeram, Muar, Johor untuk memperkenalkan diri dan mengedarkan manifestonya. – UTUSAN/ADNAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
PERNAH berhadapan dengan dua kekalahan dalam pilihan raya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak melemahkan semangat seorang ahli perniagaan untuk terus mencuba menjadi wakil rakyat.
Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, S. Jeganathan, 56, yang juga bekas Ketua Cawangan MIC Bukit Naning pernah hilang deposit ketika bertanding kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sebelum berjaya memperoleh 1,514 undi semasa PRU15.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, Adnan Ibrahim, Jeganathan berkongsi misi utamanya dalam PRK kali ini meskipun perlu berhadapan dengan dua parti besar iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

 

UTUSAN: Apakah yang mendorong anda bertanding walaupun sudah dua kali kecundang?
JEGANATHAN: Hakikatnya sebab-sebab saya ingin bertanding walaupun menyedari akan berhadapan dengan kekalahan adalah kerana dorongan masyarakat setempat. Soal mengapa rakyat mahukan saya bertanding sebagai wakil rakyat adalah kerana kerja khidmat masyarakat yang diberikan tanpa mengira agama dan bangsa. Selain itu, cara penyelesaian pihak berwajib agak lembab terhadap masalah setempat membuatkan saya ingin menjadi pendesak agar setiap permasalahan dapat diselesaikan segera.

Bagaimana cara anda memperkenalkan diri kepada masyarakat Simpang Jeram?
Saya tidak mempunyai sebarang jentera parti, namun ramai anak-anak muda secara sukarela datang membantu tanpa mengharapkan sebarang imbuhan kerana mereka mahukan seseorang yang sentiasa boleh didekati tanpa mengira masa. Malah saya sendiri menggerakkan kerja-kerja kempen secara berseorangan untuk menemui seramai mungkin pengundi bagi menerangkan visi dan misi sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat.

Apa manifesto ditawarkan untuk menarik sokongan masyarakat setempat?
Dalam PRK kali ini, saya mempertaruhkan enam perkara kepada masyarakat setempat kerana berasakan semua itu sebagai sebahagian keperluan kehidupan rakyat setempat. Daripada enam perkara itu, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan keperluan kehidupan rakyat iaitu menyediakan bank makanan, menyelesaikan masalah pemilikan tanah bertindih dalam geran dan mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu golongan ibu tunggal dan warga emas.
Tiga lagi manifesto adalah melibatkan urusan pentadbiran dalam kawasan DUN iaitu mencantas dahan dan pokok di tepi jalan agar tidak membahayakan pengguna jalan, pemberian projek pembangunan yang perlu diutamakan kepada orang Simpang Jeram dan menaik taraf kawasan DUN yang dilihat masih banyak perlu dilakukan.

Adakah anda yakin menang dalam PRK ini bersandarkan kepada peningkatan sokongan daripada percubaan pertama dan kedua?
Saya menyedari masih kekurangan penyokong kerana bukan daripada mana-mana parti yang ada, namun apabila melihat kepada denyut nadi rakyat masa kini tidak mustahil saya boleh menewaskan kedua-dua calon. Malah penggunaan lambang gajah juga melambangkan semangat saya yang kuat dan berani untuk menghadapi sebarang halangan bagi menuju kejayaan.

Harapan kepada pengundi Simpang Jeram?
Saya berharap diberikan peluang untuk menjadi wakil rakyat kerana sekiranya berjaya, perkara utama yang akan berlaku ialah memberikan kejutan kepada parti kerajaan kerana rakyat sudah tidak lagi percaya kepada mana-mana parti yang secara hakikatnya tidak mempunyai sebarang perbezaan antara satu sama lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN