JOHOR BAHRU: Kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tertubuh hari ini adalah disebabkan takdir dan ketentuan Ilahi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua pihak perlu belajar menerima hakikat tersebut dan mendamaikan hati sekiranya masih ada rasa kurang senang dengan perkara itu.
Menurutnya, pasti ada hikmah di sebalik kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Anak saya pening, dia tanya sama ada saya rasa bersalah atau tidak berkawan dengan PH untuk tubuhkan kerajaan negeri Perak, saya jawab kepada dia untuk damaikan hati menerima takdir sebagaimana diajar dalam Islam. Semasa PRU15 lalu, memang BN merancang untuk bertanding solo bagi menubuhkan kerajaan, begitu juga PH dan Perikatan Nasional (PN), namun takdir Allah menentukan bahawa kerajaan yang wujud adalah kerajaan perpaduan PH dan BN.
“Jika Allah mahukan kerajaan PN tertubuh selepas PRU15, maka boleh sahaja gabungan itu menang majoriti namun itu tidak berlaku. Jadi, kita sebagai rakyat perlu belajar damaikan hati masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Blok C PPR Kempas Permai, di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dan calon PH Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.
Saarani berkata, perkara yang berlaku telah ditakdirkan Allah, begitu juga dengan pembentukan kerajaan perpaduan hari ini perlu diterima dengan hati terbuka.
“Siapa bagi kuasa kita perintah negara melalui kerajaan perpaduan sekarang, Allah yang tentukan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap ahli akar umbi serta penyokong tegar UMNO dan BN di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan memberi sokongan dengan mengundi calon yang mewakili kerajaan perpaduan.
“Saya tahu ada pihak tertanya-tanya di mana logo dacing yang selama ini mereka sokong dan perjuangkan, tetapi percayalah calon Suhaizan Kayat ini mewakili logo tersebut.
“Mungkin dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram pengundi tidak akan lihat logo dacing, tetapi percayalah ketika PRK DUN Pelangai di Pahang selepas ini, logo dacing akan kembali mewakili mereka. Pada masa itu, jentera dan kepimpinan PH juga akan bantu kempen kita sebagaimana kita bantu kempen mereka di sini,” jelasnya. – UTUSAN










