CYBERJAYA: Dilastik dengan guli adalah antara cabaran dilalui anggota tentera yang menjaga sempadan negara di Sungai Golok, Kelantan.
Perkara itu didedahkan Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Noorrul Azril Ariffin.
Noorrul berkata, insiden itu disifatkan sebagai cabaran setempat yang dihadapi anggota penguatkuasaan dalam operasi kawalan sempadan negara dan jenayah rentas sempadan.
Katanya, secara tradisinya penduduk di Golok dan Thailand bersaudara malah, mereka kerap berulang alik.
“Setiap petang, ada sahaja penduduk bawa kuih, beras kampit dan bila kita tahan untuk periksa, dia kata hendak hantar ke rumah anak di seberang.
“Ada yang kita tahan kata hendak hantar anak mengaji al-Quran. Ada yang kata hendak ke rumah isteri dan ini antara budaya setempat di kawasan itu,” katanya pada Seminar Keselamatan Sempadan Negara 2023 di sini, semalam.
Katanya, pihaknya akui keadaan dan budaya setempat itu sedikit sebanyak mengganggu operasi kawalan sempadan dan sindiket penyeludupan di laluan itu.
Noorrul berkata, pihaknya mengakui sukar mendapat kerjasama daripada penduduk setempat khususnya dalam soal menangani isu penyeludupan dan jenayah rentas sempadan disebabkan budaya setempat berkenaan.
“Mereka (penduduk setempat) juga melihat kita (penguatkuasa) sebagai orang luar, malah anggota juga akan bertukar setiap bulan atau tiga bulan.
“Bagi mereka kita bukan kawan dan mereka (penduduk) banyak mendiamkan diri dan ambil pendekatan tidak bantu kita,” katanya. – UTUSAN










