SEREMBAN: Masyarakat diminta supaya lebih terbuka dan memberikan peluang kepada bekas-bekas banduan untuk memulakan kembali kehidupan mereka selepas menjalani hukuman di penjara.
Presiden Persatuan Membantu Bekas-Bekas Banduan Negeri Sembilan, Philips Gomez menjelaskan, tanpa sokongan dan bantuan daripada masyarakat termasuk keluarga mereka sendiri, bekas-bekas banduan tersebut akan tertekan dan akhirnya kembali melakukan kesalahan lama mereka.
Katanya, apabila bekas banduan itu sudah berubah dari tabiat biasa, beliau yakin mereka tidak akan lakukan perkara lama, kerana mereka sudah ada peluang.
PELUANG
“Namun mereka ini tidak diberikan peluang bukan sebab tiada peluang tetapi tiada orang yang mahu berkawan dengan mereka, tiada orang yang hormat menyebabkan mereka tiada keyakinan dan tiada maruah diri.
“Ini mengakibatkan mereka dalam keadaan tekanan, jadi rendah diri, yang mahu berkawan dengan mereka hanyalah kawan-kawan lama yang sama-sama ‘ketagihan’ dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Berdasarkan statistik Jabatan Penjara Malaysia, bermula tahun 2011 sehingga 2022, peratusan banduan yang dibebaskan kemudian dipenjarakan semula adalah 18.6 peratus (jumlah kemasukan residivis 37,551 orang daripada 202,348 orang).
Gomez menambah, pihaknya sering kali menerima kes bekas banduan yang kembali memasuki penjara ekoran kegagalan mendapatkan pekerjaan serta tidak diterima keluarga dan masyarakat.
“Mereka masuk balik sebab apabila keluar (dari penjara) mahu dapat kerja susah kerana majikan tidak mahu mengambil mereka kerana status bekas banduan itu.
“Macam mana mereka mahu cari duit untuk makan dan minum serta tempat tinggal? Jadi mereka memilih untuk bergaul bersama rakan-rakan lama yang sedikit sebanyak membantu mereka. Perkara ini yang mendorong mereka kembali ke penjara, di luar susah cari makan, namun dalam penjara semuanya percuma,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap Jabatan Penjara memberikan hak kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengambil tugas menyelia bekas-bekas banduan termasuk berkaitan kebajikan mereka.
“Berikan kuasa kepada NGO untuk ambil alih tugas, beri kami masa enam bulan atau satu tahun untuk menyelia mereka.
“Kebanyakan banduan masih di bawah pengawasan polis, namun polis tidak carikan kerja termasuk berkaitan kebajikan bekas banduan ini, katanya. – UTUSAN










