Beri Peguam Negara masa, ruang untuk jelaskan – William

Beri Peguam Negara masa, ruang untuk jelaskan – William Leong

WILLIAM LEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu diberi ruang dan masa mencukupi sebelum dipanggil bagi membincangkan isu berkaitan keputusan kes melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pi­lihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK), William Leong Jee Keen menjelaskan, mesyua­rat tersebut tidak boleh diadakan dalam keadaan tergesa-gesa kerana ia memerlukan persiapan terperinci.

Katanya, mesyuarat itu juga melibatkan banyak pihak dan satu tempoh yang bersesuaian perlu ditetapkan bagi membolehkan semua pihak hadir ke mesyuarat tersebut.

“Bukan esok boleh terus dipanggil, kita memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga ke tiga minggu untuk mengadakan prosiding ini.

“Kita juga perlu menyediakan tarikh sesuai untuk mereka hadir,” katanya ketika dihubu­ngi semalam.

Ketika ini, kata William, pi­hak jawatankuasa itu sedang me­ngum­pul maklumat serta menyena­raikan beberapa soalan untuk diajukan semasa ­mesyuarat itu nanti.

“Ini supaya semua pihak sudah bersedia dengan jawapan mereka, jadi ia memerlukan persiapan dan ini akan ambil sedikit masa sebelum mengadakan mesyuarat.

“Dalam soal ini, kita hanya menjalankan tugas, jadi kita harap kerjasama diberikan untuk mesyuarat ini,” katanya.

Minggu lalu, William memaklumkan pihaknya akan menjemput Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Tan Sri Idrus Harun untuk turut terlibat dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan bagi menjelaskan beberapa isu berhubung percanggahan kuasa terutama membabitkan kes berprofil tinggi.

Katanya, pihaknya tetap menghormati kuasa Peguam Negara dalam menjalankan budi bicaranya untuk memulakan, menjalan atau menghentikan sebarang prosiding mahkamah selaras Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, katanya, undangan itu adalah untuk membantu jawatankuasa memahami beberapa isu berhubung kekhuatiran terhadap percanggahan kuasa dan kepentingan yang timbul, terutama berkaitan kes berprofil tinggi.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut secara khusus berkenaan kes melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid berkenaan 47 pertuduhan ke atasnya sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN