Bekas ADUN Larkin sertai Amanah?

Bekas ADUN Larkin sertai Amanah?

amanah
MOHD. IZHAR AHMAD (kiri) kelihatan menghadiri Ceramah Perpaduan Pulai yang disertai Mohamad Sabu di Nusa Bestari, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua bekas pemimpin utama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama lebih 200 ahli kedua-dua parti itu didakwa akan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, majlis penyerahan borang keahlian Amanah oleh bekas Exco Kerajaan negeri dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersama ahli-ahli mereka akan dilakukan di Sungai Abong, Muar, hari ini dan di Taman Rekreasi Taman Uda Utama, Perling, di sini, esok.

“Penyertaan bekas Exco dan bekas ADUN daripada Bersatu dan Pas itu adalah satu isyarat yang jelas terhadap penerimaan perjuangan Amanah yang membawa semangat Rahmah seperti ditunjukkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Kami juga yakin bahawa kemasukan ini menunjukkan rakyat gembira dengan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata nya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminolhuda yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, borang keahlian akan diserahkan kepada Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam dua majlis ceramah di kawasan itu, beliau tidak menamakan dua pemimpin yang dimaksudkan.

Pengumuman itu mengundang spekulasi bahawa bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad adalah salah seorang pemimpin yang dimaksudkan.

Mohd. Izhar yang mengumumkan secara rasmi meninggalkan Bersatu pada awal tahun lalu dilihat hadir ke Ceramah Perpaduan Pulai di Nusa Bestari, di sini, Ahad lalu.

Mohd. Izhar yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor bagi tempoh 2018 hingga 2022 meninggalkan Bersatu kerana mendakwa parti itu tidak berpegang dengan agenda penubuhannya selain sudah hilang hala tuju. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN