KANGAR: Kerajaan negeri perlu mengambil langkah proaktif bagi membantu menangani isu tunggakan gaji dihadapi Perlis United FC (PUFC) dalam mengembalikan semula zaman kegemilangan pasukan bola sepak singa utara.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Saiful Fariddil Jasmi berkata, isu tersebut perlu mendapat perhatian kerajaan negeri memandangkan ia merupakan antara kandungan manifesto Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak seharusnya menjadikan manifesto PRU15 hanya sebagai janji politik semata-mata.
“Oleh itu, Pemuda UMNO negeri amatlah berbesar hati sekiranya kerajaan negeri Perlis dapat membantu menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang dihadapi pasukan Perlis United kerana pemain-pemain ini amat berharap bayaran berkenaan untuk meneruskan kelangsungan hidup dan menyara keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan mengenai isu tunggakan gaji selama sebulan dihadapi PUFC yang merencatkan laluan mereka bagi menghadapi baki empat perlawanan dalam saingan Liga M3 musim ini.
Penolong Pengurus Perlis United, Muhamad Khairulnizam Haris dilaporkan berkata, masalah tunggakan gaji bagi bulan Ogos itu sedikit sebanyak telah menganggu momentum dan prestasi pemain pasukan berkenaan yang kini berada pada kedudukan ketujuh dari 13 pasukan yang bertanding.
Katanya, kehadiran pemain pasukan itu dalam sesi latihan juga semakin merosot berikutan daripada permasalahan tersebut yang menjejaskan motivasi mereka.
Retetan isu tersebut, pihak pengurusan PUFC turut menyerahkan memorandum kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Muhammad Azmir Azizan berhubung isu tunggakan gaji tersebut selain berharap beberapa sokongan lain.
Pada PRU15, antara kandungan manifesto Perikatan Nasional (PN) negeri ini adalah bagi mengembalikan semula kegemilangan pasukan bola sepak Perlis yang pernah menjuarai Piala Malaysia dua kali pada 2004 dan 2006.-UTUSAN