100,000 veteran ATM belum daftar PVATM

100,000 veteran ATM belum daftar PVATM

ADLY Zahari (kanan) beramah mesra dengan veteran tentera dalam program Bual Bicara Pemimpin Bersama Veteran ATM di Muar, Johor, semalam. – MINGGUAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Kira-kira 100,000 bekas tentera yang berhenti tanpa pencen belum mendaftarkan diri dengan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) sekali gus menyukarkan pihak bertangungjawab untuk mengemas kini data terutama berkaitan menjaga kebajikan mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ini bagi melibatkan mereka dalam kerjaya kedua selepas berhenti daripada perkhidmatan seperti dirancang Kementerian Pertahanan.

Katanya, pendaftaran juga bakal memudahkan setiap per­satuan veteran mengemas kini data berkaitan agar semua aspek kebajikan yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dapat disalurkan khususnya veteran warga emas atau penghidap penyakit kronik.

“Kerjaya kedua yang disediakan kepada veteran sama ada berpencen terbahagi kepada dua iaitu usahawan bermajikan dan usahawan perniagaan.

“Bagi usahawan bermajikan, antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang terlibat dalam pakej ini adalah renjer hutan, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Bagaimanapun, usahawan perniagaan merupakan pilihan terbanyak kepada veteran kerana kecenderungan kumpulan ini untuk tidak lagi terlibat dalam kerjaya bermajikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Veteran ATM di Pejabat PVATM Muar di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi PVATM, Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara) dan Ketua PVATM Muar, Samsudin Rais.

Tambah Adly, semua perkara berkaitan kebajikan veteran sentiasa dalam perhatian Kementerian Pertahanan sama ada daripada sudut kesihatan, kebajikan atau perumahan.

Pada masa ini terdapat 176,500 bekas tentera yang ber­daftar dengan PVATM ma­nakala selebihnya bernaung di bawah persatuan-persatuan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN