Wajibkan prasekolah dalam pendidikan

Wajibkan prasekolah dalam pendidikan

MEKANISME dan garis masa bagi peralihan struktur baharu pendidikan prasekolah diperincikan dalam tempoh terdekat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masa kerajaan mewajibkan prasekolah dalam sistem pendidikan negara bagi memastikan anak-anak mampu menguasai elemen me­nulis, mengira dan membaca (3M) sekali gus menyelesaikan isu-isu lain berhubung pendidikan awal dikendali pihak swasta.

Ketika ini, ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pra­sekolah swasta perlu membayar yuran kira-kira RM445 sebulan untuk seorang anak dan perkara tersebut membuatkan mereka berhadapan masalah tekanan kos sara hidup.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, menjadikan prasekolah sebagai sebahagian daripada pendidikan kebangsaan bukan sahaja memastikan anak-anak mampu menguasai elemen 3M tetapi menyelesaikan pelbagai isu seperti kos mahal, kakitangan di tadika tidak bertauliah.

Menurut beliau, langkah tersebut sudah tentu mendapat sambutan semua lapisan masyarakat terutama golongan B40 yang terpaksa membelanjakan sehingga RM445 sebulan dan RM5,340 se­tahun membiayai prasekolah seorang anak.

“Jika memasukkan prasekolah dalam sistem pendidikan kebangsaan kos sara hidup ditanggung ibu bapa selesai.

“Bayangkan jika sebuah keluarga mempunyai dua ke tiga orang anak. Jadi jika kerajaan mewajibkan sudah pasti mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat,” katanya

Beliau berkata, prasekolah swasta turut menyebabkan ada dalam kalangan murid tahun satu tidak menguasai 3M mungkin berpunca daripada kakita­ngan tidak bertauliah.

“Jika perkara terus dibiarkan, akan mewujudkan jurang kemahiran antara anak-anak yang menjadi generasi pelapis. Sebab itu pada saya mewajibkan prasekolah itu penting sebagai persiapan untuk mereka mahir dengan perkara paling asas,” katanya.

Anuar berkata, isu pende­raan melibatkan guru di sekolah prasekolah swasta juga boleh diatasi kerana prasekolah diambil alih kerajaan secara automatik mengambil tenaga pengajar bertauliah dan berkelayakan.

“Masalah kita di Malaysia, terdapat banyak guru atau pe­ngasuh tidak bertauliah dan jika melihat laporan Bank Dunia mengenai ini, kita akan dapat hampir 73 peratus daripada guru di prasekolah swasta tidak terlatih,” katanya.

Pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Ko­muniti, Fakulti Pendidikan UKM, Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, sudah tiba masanya prasekolah diwajibkan oleh kerajaan.

“Ada yang berpandangan prasekolah ini tidak penting de­ngan alasan umur tujuh tahun baru masuk ke sekolah tetapi sebenarnya prasekolah ni kita menggunakan pendekatan belajar dengan bermain.

“Jadi ini bukan bermaksud kita nak tubi anak-anak tetapi kita nak mengembangkan kemahiran anak anak daripada segi sosial emosi dan sebagai­nya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN