Transformasi Sungai Melaka - Utusan Malaysia

Transformasi Sungai Melaka

Sungai Melaka melalui transformasi penting sehingga kini menjadi ikon pelancongan di Melaka. - MINGGUAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sungai Melaka mempunyai sejarah dan peranan berterusan bermula dari era ke­gemilangan Kesultanan Melayu Melaka, diikuti zaman kolonial Portugis, Belanda, British dan Jepun sehinggalah pada hari ini.

Muara Sungai Melaka diperakui menjadi laluan utama pedagang silam dan kini ditransformasikan menjadi ikon pelancongan dan nadi ekonomi utama negeri ini.

Pembangunan Sungai Melaka dipecahkan kepada dua fasa yang mana Fasa Satu adalah sejauh sembilan kilometer (km), bermula dari Taman Rempah Ratus hingga ke Muara Sungai Melaka.
​Fasa Dua yang masih dalam proses pembangunan sepanjang 15.4km bermula dari Jeti Pengkalan Rama sehingga ke Yayasan Toh Puan Zurina, Peringgit.

Kerajaan negeri akan menjadikan Sungai Melaka Fasa Dua sebagai lokasi khusus melibatkan aktiviti sukan air seperti berkayak dan perahu naga.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) diminta menyediakan jadual supaya aktiviti berkaitan dapat dijalankan khususnya oleh ahli-ahli Persatuan Perahu Naga Melaka.

SUNGAI BUSUK

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Morten, Jalina Mahmood, 61, berkata, transformasi Sungai Melaka dari ‘sungai busuk’ kepada produk pelancongan yang memberi limpahan ekonomi terutama kepada masyarakat kampungnya bermula ketika era kepemimpinan Ketua Menteri Kesembilan, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

TRANSFORMASI Sungai Melaka dimulakan ketika era kepemimpinan Mohd. Ali Mohd. Rustam yang kini merupakan Yang Dipertua Negeri.

Beliau berkata, idea Mohd. Ali yang kini Yang Dipertua Negeri berjaya mengubah Melaka yang sebelum itu diberi jolokan The Sleeping Hollow.

Katanya, di Kampung Morten khususnya, banyak kedai makan dan inap desa diusahakan penduduk setempat bagi mengambil peluang kunjungan pelancong yang semakin meningkat setiap tahun.

JALINA MAHMOOD

Katanya, Kampung Morten yang terletak di tepi Sungai Me­laka turut menyajikan pemanda­ngan indah terutama pada waktu malam dengan diterangi lampu bergemerlapan.

“Setakat ini terdapat 13 kedai makan dan 11 inap desa yang aktif. Contohnya terdapat sebuah kedai nasi lemak dan orang ramai sanggup beratur untuk makan sambil menikmati pemandangan indah Sungai Me­laka.

“Bot Melaka River Cruise (MRC) yang melalui Kampung Morten juga membantu mempromosikan tempat ini secara tidak langsung. Cuma kalau boleh permohonan untuk sebuah hentian bot di kampung ini dapat direalisasikan.

“Kita telah banyak kali mohon tapi belum berjaya. Saya percaya penduduk kampung ini akan mempelbagaikan lagi aktiviti ekonomi seiring usaha kerajaan negeri untuk menggamit lebih ramai pelancong,” katanya.

KOS

Projek pengindahan Sungai Melaka yang melibatkan kos le­bih RM300 juta adalah termasuk pembinaan loji rawatan air dan baraj untuk menjernihkan air dan mengawal paras air sungai berkenaan.

Pembangunan di kedua-dua tebing sungai melibatkan pembinaan hotel, restoran dan kedai cenderamata dengan menjadikan Sungai San Antonio di Amerika Syarikat yang terkenal dengan keindahan dan kebersihan sebagai rujukan.

Sebelum ini, Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Melaka dimaklumkan, Sungai Melaka masih dika­tegorikan sebagai sungai yang bersih oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Secara taburan, tahap kualiti air Sungai Melaka berada di tahap kelas dua bersih di bahagian hulu dan sedikit menurun kepada kelas ketiga dan keempat di sebahagian stesen air di hilir.

Keindahan landskap Sungai Melaka di sini yang semakin indah dan bersih menggamit perhatian setiap pelancong yang menaiki bot Melaka River Cruise (MRC).

Tinjauan di Jeti Taman Rempah Ratus mendapati, rata-rata pelancong teruja bersantai di atas bot sambil melihat keindahan di laluan sepanjang sembilan kilometer (km) itu.

BOT MRC

Pelancong, Jafri Ahmad, 51, berkata, dia mendapati banyak perubahan dilakukan di Sungai Melaka berbanding ketika pertama kali menaiki bot MRC hampir 10 tahun lalu.

BOT MRC melalui Sungai Melaka yang menjadi nadi utama pelancongan negeri.

Menurutnya, paling ketara kualiti air yang semakin bersih.

“Pokok-pokok dijaga rapi. Air sungai tiada sampah,” katanya dari Sungai Petani, Kedah.

JAFRI AHMAD

Muhammad Hisyam Tahir, 23, pula berkata, dia yang pertama kali menaiki bot MRC terpesona dengan lukisan mural dan reka bentuk rumah tradisional di pesisir sungai berkenaan.

Pada awalnya, dia menjangkakan perjalanan 30 minit itu akan membosankan.

“Ingatkan pemandangan biasa-biasa saja. Apabila sudah naik pengalamannya luar biasa kerana banyak lukisan mural cantik, terdapat laluan pejalan kaki di tepi sungai dan melihat pelbagai reka bentuk rumah lama.

“Pemandu bot ramah dan memberikan penerangan di setiap lokasi dilalui. Sungai Melaka juga bersih dan indah, dijaga rapi membuatkan pelancong seperti saya tertarik untuk datang lagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

BANJIR

Transformasi Sungai Melaka sebagai ikon pelancongan negeri memberikan manfaat ekonomi kepada segenap masyarakat khususnya penduduk Kampung Morten.

Bukan itu sahaja, pembangunan itu juga berjaya menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi di situ seperti banjir, air kotor dan berlumpur.

Ketika ditemui, anak jati Kampung Morten, Kamarudin Abd. Karim, 74, berkata, struktur baharu dan tebing yang dibina pihak berwajib berjaya menghalang air sungai daripada melimpah memasuki kawasan kediaman penduduk.

“Saya menetap di Kampung Morten lebih 50 tahun. Dulu sungai ini tidak dijaga, berlumpur, air berbau dan kerap banjir semasa air pasang.

“Keadaan ini berubah selepas kerja-kerja pengindahan dan pembersihan berjaya menceriakan Sungai Melaka. Sekarang semakin cantik, pelancong boleh bersiar-siar di laluan pejalan kaki dan orang kampung mendapat manfaat ekonomi,” katanya.

KAMPUNG Morten, Melaka yang terletak di tepi Sungai Melaka turut menerima limpahan ekonomi daripada pembangunan dilakukan kerajaan negeri. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, pasar terapung bakal menjadi produk pelancongan baharu diperkenalkan Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), mulai tahun depan.

Idea tersebut mengambil contoh di luar negara seperti di Bangkok, Thailand dan Ban­dung, Indonesia yang mampu menarik kehadiran pelancong luar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN