Tidak lupa kisah ditahan komunis

Tidak lupa kisah ditahan komunis

SHAARI Mokri memegang Jalur Gemilang ketika menceritakan pengalaman ketika negara berdepan ancaman komunis di Sungai Manik, Pasir Salak, baru-baru ini. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Pernah ditahan komunis pada tahun 1940-an antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh seorang penduduk Sungai Ma­nik di sini.

Shaari Mokri, 94, berkata, dia antara penduduk di sini yang merasai sendiri keperitan ketika negara berdepan ancaman komunis, malah menyaksikan ramai rakannya yang hilang tanpa jejak.

Menceritakan peristiwa ditahan pengganas komunis, Shaari berkata, ketika itu, di Sungai Manik antara kawasan yang aktif dengan kegiatan komunis dan masuk kampung dan mengganggu penduduk.

Katanya, dia ditahan komunis dan diarah membawa mereka ke rumahnya.

“Komunis mengikut saya sampai ke rumah, mereka nak tengok berapa ramai orang yang ada di rumah dan mereka me­minta makanan namun ketika itu yang ada hanya beras, ubi dan pisang.

“Setelah mendapat apa yang mereka mahukan, mereka terus pergi. Saya juga melihat komunis menyeksa penduduk jika apa yang mereka minta terutama makanan tidak diberikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, walaupun pe­r­istiwa itu sudah lama berlalu, namun dia tidak pernah melupakan kekejaman komunis apatah lagi ramai kawan-kawannya yang hilang entah ke mana.

“Apabila dikenangkan semua zaman itu, saya rasa sangat pilu, sedih. Pada masa itu, nak ke sekolah pun takut ditahan komunis.

“Kawan-kawan sekolah pun ramai yang hilang tanpa jejak, tidak pulang ke rumah hingga hari ini, tak berjumpa lagi dan rindu sangat terutama lima ka­wan sekampung yang sekolah sama-sama.

“Saya juga pernah nampak seorang kawan kena tahan komunis dan diseksa minum air parit, namun dia tak ikut perintah komunis dan sejak itu saya tak melihatnya lagi di sekolah,” katanya.

Shaari berkata, apa yang dilaluinya itu tidak seharusnya berulang dan berharap generasi hari ini menghargai keamanan yang dikecapi negara kini.

“Saya hanya mampu berceri­ta kepada anak, cucu tentang betapa susahnya jika kita dijajah dengan harapan agar mereka menghargai keamanan yang mereka lalui hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN